KUALA TERENGGANU - Polis yakin dapat  melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di daerah Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu dengan tertangkapnya tiga lelaki dan seorang wanita dalam tiga serbuan di tiga lokasi berasingan, Khamis lalu.

Keempat-empat suspek berusia antara 35 tahun hingga 63 tahun diberkas hanya dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas operasi dijalankan sekali gus merampas dadah termasuk heroin, pil kuda, syabu dan Erimin 5.

Nilai keseluruhan rampasan iaitu kira-kira RM17,120 merupakan antara nilaian rampasan terbesar dalam tempoh dua bulan, pada tahun ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Superintendan Roslan Tahir berkata, serbuan pertama dibuat kira-kira jam 12.45 pagi, di hadapan pintu lif, Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu, Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini.

Katanya, dalam serbuan itu, dua lelaki berusia 55 tahun dan 35 tahun ditahan sebelum merampas empat botol dadah heroin dengan nilai anggaran RM2,400 serta 25 biji pil kuda nilaian kira-kira RM280.

"Kesemua barang yang dirampas dijumpai di dalam poket seluar yang dipakai oleh lelaki berusia 55 tahun, bagaimanapun pemeriksaan ke atas lelaki kedua (35 tahun) tidak menemui sebarang benda salah.

"Siasatan selanjutnya mendapati kedua-dua suspek ini terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah sejak lima bulan lepas manakala mereka juga memiliki beberapa rekod jenayah lampau melibatkan kesalahan jenayah dan dadah.

"Dalam masa sama, ujian saringan awal air kencing yang dijalankan juga mendapati kedua-dua nya positif dadah," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini, hari ini.

Menurut Roslan, susulan penahanan itu, pihaknya berjaya mengenal pasti seorang lagi suspek yang dipercayai menjadi pembekal kepada kedua-dua lelaki tersebut serta pengedar-pengedar dadah di sekitar daerah Kuala Terenganu.

Jelasnya, lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di tepi jalan kawasan Kampung Padang Midin, di sini, kira-kira jam 2.45 petang, hari sama, dipercayai dalam perjalanan untuk menghantar bekalan dadah kepada pelanggan.

"Pemeriksaan lanjut berjaya merampas 20 botol dadah heroin nilai anggaran RM12,000, 10 biji Erimin 5 dengan nilai anggaran RM140 dan syabu yang bernilai anggaran RM700 yang diletakkan dalam satu beg plastik di dalam bakul motosikal ditungganginya.

"Siasatan seterusnya terhadap suspek berjaya lagi menemui syabu bernilai RM1600 yang disorokkan di sebuah rumah di Jalan Jerangau, Ajil, Hulu Terengganu dalam serbuan kira-kira jam 7 petang.

"Turut ditahan seorang wanita berusia 63 tahun dipercayai ibu kepada suspek yang ketika itu ada di dalam rumah untuk membantu siasatan," katanya.

Keempat-empat suspek kini direman selama tujuh hari bermula tarikh ditangkap untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 12 (2) ADB 1952.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR PUTEH - Walaupun kelompok pembeli belalang tidak besar, peniaga Pasar Besar Pasir Puteh di sini, tetap menjualnya bagi memenuhi permintaan pelanggan tetapnya.
  • SHAH ALAM - Gabungan NGO-NGO Selangor menggesa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memohon maaf secara terbuka kepada semua masyarakat Bugis atas kenyataan biadabnya yang mengatakan bangsa itu sebagai lanun.
  • KOTA KINABALU - Hujan lebat sejak petang tadi mengakibatkan banjir di lima kampung di Kota Belud, menyebabkan 119 mangsa daripada 36 keluarga terpaksa dipindahkan.
  • KOTA BHARU - Animasi Islamik Omar & Hana yang disaksikan di YouTube dan kaca televisyen kini boleh dibaca secara tiga dimensi dalam bentuk poster terbitan Kumpulan Media Karangkraf sekali gus menyuntik Kecerdasan Intelektual (IQ) kanak-kanak.
  • BANDARAYA MELAKA - Durian Tunggal yang terletak dalam Daerah Alor Gajah, bakal menjadi sebuah hub pengangkutan awam sejurus Stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur - Singapura beroperasi kelak.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.