DUNGUN - "Anak aku dah mati... Abang, bakpe mu tinggal ummi?" raung Nor Hanisah Mat Isa, 34, melihat jasad anak sulungnya terbujur kaku selepas terlibat dalam nahas jalan raya di kilometer 23.5  Jalan Paka-Ambs, petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang, mangsa, Che Wan Muhammad Akmal Ikbar Che Wan Mohd Rosli, 16 maut di tempat kejadian apabila motosikal jenis Yamaha Lagenda yang ditunggang bertembung dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Naza Citra.

Sewaktu kejadian mangsa yang beralamat dari Lot PPRT, Taman Hadhari, Kampung Cacar, Paka dalam perjalanan dari Paka menuju ke Hutan Lipur Chemerong, Hulu Dungun.

Bagaimanapun, hasratnya bersama rakan-rakan yang ketika itu sedang berkonvoi untuk berkelah di pusat rekreasi tersebut tidak kesampaian apabila motosikal ditunggang terlibat dalam kemalangan.

Nor Hanisah berkata, dia sudah menghalang hasrat anaknya untuk pergi berkelah tetapi tidak diendahkan.

Motosikal ditunggang mangsa tersepit di celah kiri MPV.

Menurutnya, dia terus bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan anaknya terlibat dalam kemalangan.

"Dia dengan rakan-rakan dan bapa saudaranya naik motor beramai-ramai untuk pergi mandi-manda.

" Saya sudah larang supaya tidak pergi tetapi dia tetap nak pergi juga.

"Semalam dah pergi, hari ini nak pergi lagi," katanya dalam keadaan sebak.

Remaja berkenaan meninggal dunia sebaik sahaja motosikal ditunggang bertembung kereta menyebabkan motosikal tersepit di celah kiri kereta.

Akibat rempuhan kuat, mangsa yang tersembam di bahagian hadapan cermin kereta tercampak dan meninggal dunia akibat kecederaan serius.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan punca sebenar kemalangan masih disiasat.

Mayat pelajar tingkatan empat itu dihantar ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tujuan bedah siasat.