DUNGUN - Seorang lelaki sanggup menggadai nyawa menyelamatkan sebuah kedai yang terbakar di Sura Gate, di sini, minggu lepas.

Abdul Hadi Rosli, 30, yang juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dungun bagaimanapun melecur di muka dan lengan selepas terkena sambaran api di lokasi kejadian.

Menurutnya, ketika itu dia sedang bekerja membawa lori ais untuk dihantar ke kedai berhampiran sebelum terdengar jeritan meminta tolong.

"Saya terus meluru masuk ke dalam kedai dan guna alat pemadam api yang ada dalam bangunan itu untuk padam kebakaran.

“Walaupun masa itu saya tak pakai seragam APM, mereka tahu saya seorang anggota APM dan meminta bantuan," katanya kepada Sinar Harian ketika kunjungan Pegawai Pembangunan Masyarakat Dungun, Datuk Din Adam ke rumahnya di Taman Elina 2, di sini, kelmarin.

Hadir sama, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Dungun, Mohd Naufal Yusoff.

Abdul Hadi menjelaskan, malang tidak berbau apabila salah seorang pekerja kedai mencabut kepala tong gas dan ketika itu api menyambar alat semburan pemadam api yang digunakannya.

"Masa kena tu tak ada rasa sakit pun, tapi lepas saya selesai padam kebakaran dan nak sambung semula kerja, baru rasa sakit.

"Saya terus telefon APM dan mereka bawa saya ke hospital," katanya.

Katanya, pada mulanya doktor memaklumkan kecederaan yang dialami serius namun selepas pemeriksaan dilakukan ia tidak terlalu teruk.

“Selepas dicuci dan diberikan ubat saya dibenarkan pulang dan diberi cuti sakit selama dua hari,” katanya.

Kata Abdul Hadi, disebabkan kecederaan yang dialami dia terpaksa mengambil cuti lebih lama kerana bahagian melecur berdenyut-denyut sehingga mengganggu urusan hariannya.

“Saya tidak boleh keluar bekerja kerana kecederaan yang dialami tidak boleh terdedah cuaca panas dan saya sukar untuk mengangkat benda berat. Saya bimbang dengan keadaan ini kerana ahli keluarga banyak bergantung kepada saya.

“Saya anak sulung dari 10 beradik dan enam daripadanya masih belajar, malah salah seorang adik juga dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU). Ibu saya pula seorang ibu tunggal dan saya amat berharap kecederaan ini segera sembuh supaya saya dapat bekerja dan meneruskan khidmat sebagai anggota sukarela APM,” katanya.

Tidak serik bantu masyarakat

Tambahnya, dia menyertai APM sejak 2008 secara kontrak sehingga 2010 dan selepas itu dia berkhidmat sebagai anggota sukarela APM.

“Sebagai anggota APM kami memang terdedah bahaya ketika membantu menyelamatkan orang awam dan harta benda tetapi kami juga didedahkan dengan pelbagai kemahiran.

“Oleh itu, ketika membantu memadam kebakaran memang saya mementingkan aspek keselamatan tetapi apa yang berlaku di luar jangkaan. Bagaimanapun saya tidak serik dan akan terus menyumbang khidmat demi manfaat orang ramai,” katanya.

Syor skim perlindungan khas

Sementara itu, Din berkata, susulan insiden yang menimpa Abdul Hadi, kerajaan dicadangkan meneliti satu skim perlindungan khas untuk warga dan anggota APM supaya kehidupan mereka lebih terjamin.

“Setakat ini juga, anggota APM tidak mencarum Socso dan perkara ini mungkin boleh dipertimbangkan.

“Kerja-kerja sukarela yang mereka lakukan banyak terdedah bahaya, oleh itu lebih baik sekiranya ada jaminan atau skim perlindungan bersesuaian untuk mereka,” katanya.

Bagi sesiapa yang ingin membantu meringankan beban Abdul Hadi, boleh salurkan terus ke akaun Maybank 163091072381 atas nama Abdul Hadi Rosli.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BINTANGOR - Seorang wanita warga emas, Saripah Serang, yang sakit tua, rentung setelah terperangkap dalam kebakaran Rumah Lambang, sebuah rumah panjang 38 pintu, di Sungai Tulai dekat sini tengah hari ini.
  • KUCHING - Ruang stor di tingkat empat bangunan Telekom Malaysia (TM) di Jalan Were di sini musnah dalam satu kebakaran lewat petang ini.