KUALA NERUS - Kerajaan negeri komited dalam usaha untuk mewujudkan Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang bagi membantu anak Terengganu yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Pertama.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi tujuan itu sebanyak RM5 juta setahun akan diperuntukan.

"Kerajaan negeri mengulangi komitmen untuk mewujudkan Tabung Biasiswa Pelajar Cemerlang untuk anak Terengganu.

"Ini kerana kita sentiasa memandang tinggi usaha pembangunan modal insan yang merupakan pemangkin kepada kesejahteraan negara,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui Pada Majlis Anugerah Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP) di Institut Teknologi Petroleum Petronas (Instep) Batu Rakit, di sini.

Hadir sama Naib Presiden Kanan Pengurusan Sumber Manusia, Kumpulan Petronas, Datuk Raiha Azni Abd Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.

Sementara itu, dalam perkembangan lain Ahmad Samsuri turut menggesa syarikat-syarikat korporat terus memainkan peranan dengan membantu memberi sumbangan dalam bidang pendidikan.

"Syarikat-syarikat lain perlu mencontohi apa yang telah dilaksanakan Petronas dalam membantu bidang pendidikan di Terengganu.

"Antaranya Program Sentuhan Ilmu Petronas (PSIP), Program Vista, Program Sekolah Amanah, PESP dan sebagainya," katanya.