DUNGUN - Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun (PSMKD) melahirkan rasa terkilan dengan keputusan pihak atasan untuk memindahkan muzium daerah Dungun ke Bukit Besi.

Dalam kenyataan sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pihak bertanggungjawab bersetuju memindahkan muzium daerah Dungun sebaik sahaja bangunan baharu di Bukit Besi siap.

Pengerusi Persatuan, Samsudin Jusoh berkata, berdasarkan perbincangan yang dibuat sebelum ini seperti yang pernah disiarkan Sinar Harian bertarikh 14 November 2006, cadangan asal hanya mewujudkan muzium perlombongan sahaja di Bukit Besi.

Menurutnya, PSMKD juga membantah sekerasnya sekiranya tindakan merobohkan bangunan muzium sedia ada dilakukan.

“Memang PSMKD tidak setuju bangunan muzium sekarang dirobohkan dan sebelum ini kita pernah mengumpul tandatangan bantahan.

“Sekiranya muzium terpaksa dipindah ke Bukit Besi, biarlah barang-barang pameran dan artifak sahaja dipindah serta bangunan bersejarah itu perlu dikekalkan," katanya.

Samsudin berkata, penubuhan muzium daerah dicadangkan oleh PSMKD pada Oktober 2007 dan pada masa sama lembaga muzium negeri turut mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya didirikan muzium Dungun kerana sejak 1930-an, daerah ini terkenal di seluruh dunia sebagai pusat perlombongan bijih besi.

"Bangunan muzium daerah Dungun perlu dipertahankan kerana mempunyai nilai sejarah yang tidak boleh ditukar ganti dan merupakan kediaman rasmi pegawai daerah.

“Bangunan bersejarah ini dibina pada 1941 di bangunan yang pernah menjadi kediaman penasihat British di Dungun dahulu," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Seramai 500 penduduk Kampung Gelung Air, Gunung Keriang, berhimpun bagi membantah pembesaran sebuah rumah ibadat di kampung mereka.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.