KUALA TERENGGANU – Umno Bahagian Kuala Terengganu menyokong keputusan Biro Politik Umno memboikot PRK Port Dickson yang diadakan awal Oktober depan dengan tidak meletakkan calon daripada parti berkenaan.

Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Wan Hisham Wan Salleh berkata, tindakan itu wajar dilakukan kerana beliau sendiri tidak sanggup melihat Umno diheret dalam permainan politik yang tidak memberi keuntungan kepada rakyat.

“Daripada sibuk memikirkan PRK Port Dickson, lebih baik masa yang ada ini digunakan sebaik mungkin untuk memperkasakan parti.

“Inilah masa yang sesuai untuk kita berbuat demikian (memperkasakan parti) daripada memikirkan perkara-perkara yang tidak mendatangkan perkara positif kepada parti,” katanya kepada Sinar Harian.

Wan Hisham berkata, dalam memutuskan sesuatu perkara, langkah untuk berundur perlu untuk mencapai yang lebih baik pada masa akan datang.

“Kadang-kadang kita perlu undur selangkah untuk maju seribu langkah ke hadapan,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi BN, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi, BN sebulat suara memboikot PRK Port Dickson yang akan diadakan Oktober depan dengan tidak meletakkan calon.

Katanya lagi, BN juga tidak akan mengerahkan sebarang jentera atau ahli sebagai menyokong mana-mana calon pembangkang atau bebas sekalipun.

Keputusan itu bukan bermaksud BN enggan meraikan proses demokrasi tetapi cara pengosongan kerusi itu dilakukan secara tidak demokrasi.