KUALA BESUT - Pasukan KuBest Innovation Team dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut yang mengharumkan nama negara selepas muncul juara dalam pertandingan Program Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear di Gyeongju, Korea Selatan Mei lalu, dijemput pula ke Rusia Ogos depan.

Pengetua SMK Kuala Besut, Che Soh Che Mat berkata, pasukan terdiri daripada tiga pelajar Muhammad Syazwan Mat Sidik, Muhammad Anuar Abd Ghani masing-masing berusia 17 tahun dan Safiyyah Muhammad Nasir, 16, dijemput membentangkan projek kesedaran nuklear pada Kongres Pemuda Perbadanan Tenaga Atom Negara Rusia (Rosatom)  di Saint Petersburg, Rusia pada 27 dan 28 Ogos.

Menurutnya, pihaknya menerima  jemputan melalui email daripada Pengurus  Projek Pusat Kerjasama Pelajar dan Siswazah Rosatom pada malam Jumaat .

“Pasukan yang diketuai Ketua Bidang Sians Matematik sekolah, Faizul Abd Raman berhasrat  menerima perlawaan tersebut namun jawapan rasmi belum dikemukakan kepada pihak terbabit.

“Pihak kami juga telah memaklumkan kepada pihak Rosatom agar mengemukakan surat jemputan secara rasmi kepada Kementerian Pendidikan Malaysia terlebih dahulu,” katanya.

Che Soh berkata, jemputan tersebut satu penghormatan besar kepada negara dan sekolah ini kerana pihak Rusia yakin dan tertarik dengan kebolehan pasukan KuBest Innovation setelah berjaya mengalahkan peserta dari Amerikan Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea dalam pertandingan anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA)  di Korea Selatan pada 28 hingga 31 Mei lepas.

Menurutnya, penganjur bersetuju membiayai tiket penerbangan tiga pelajar terbabit bersama seorang guru pengiring selain menanggung pengingapan dan makan minum di sana.