KUALA TERENGGANU - Pejabat Pusat Khidmat Dun Alor Limbat yang terletak di Padang Midin, di sini, rugi kira-kira RM30,000 selepas dipecah masuk dalam satu kejadian, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, kejadian itu disedari seorang Pembantu Agensi Pembangunan Masyarakat Terengganu (APMT), kira-kira jam 8.30 pagi, ketika hendak membuka pintu pejabat berkenaan.

Menurut Manoharan, lelaki itu mendapati pintu dan gril hadapan sudah terbuka. Tiga bilik dan ruang pejabat juga dalam keadaan berselerak seolah-olah dipecah masuk.

“Hasil pemeriksaan mendapati lapan buah komputer riba dan sebuah projektor telah hilang dengan anggaran kerugian keseluruhan RM30,000. Bagaimanapun tiada sebarang dokumen penting dilarikan penjenayah,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurut beliau, siasatan mendapati pejabat berkenaan ditutup jam 11 malam (Selasa) yang mana pejabat itu menyediakan kemudahan kepada masyarakat setempat untuk menggunakan komputer
atau melayari internet secara percuma.

“Pejabat berkenaan juga turut dilengkapi kemudahan kamera litar tertutup (CCTV), tetapi tidak berfungsi kerana rosak,” katanya.

Manoharan berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum mengenal pasti manamana suspek dan siasatan terperinci kini dijalankan.

“Jadi, orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diharap dapat tampil bekerjasama dengan pihak polis dalam usaha menjejaki penjenayah terbabit.

“Bagaimanapun, kita percaya kejadian ini adalah kes pecah rumah biasa dan tidak mempunyai kaitan dengan unsur berbaur politik,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.