KUALA TERENGGANU - [DIKEMASKINI] Rakyat negeri ini berpeluang melihat secara dekat lebih 22 barangan milik Rasulullah SAW yang dipamerkan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), di sini selama sebulan.

Pameran Artifak Rasulullah dan Para Sahabat yang turut membawa bersama lebih kurang 10 barang milik sahabat Nabi Muhammad SAW itu akan dipamerkan bermula 23 September hingga 23 Oktober ini.

Penasihat penganjuran, Profesor Dr Abd Manan Embong berkata, pameran atas usaha bersama kerajaan negeri dengan juga Syarikat Dragon Heart Sdn Bhd dan Galeri Warisan M.A.R itu julung kali diadakan di Terengganu.

Menurutnya, pameran seumpama itu pernah dilakukan di beberapa lokasi seperti Melaka, Putrajaya, Kelantan, Kedah, Johor Bahru, Shah Alam, Brunei dan Singapura.

“Antara barangan yang dipamerkan kepada umum nanti ialah rambut Rasulullah SAW, darah bekam, capal, tapak kaki, serban dan tongkat. Manakala barangan para Sahabat pula lebih kepada senjata seperti pedang.

“Barangan ini dibawa khas dengan cara meminjam dari beberapa negara iaitu Jordan, Mekah, Madinah, India dan Syria dengan kos RM270 juta untuk bayaran insurans dan perbelanjaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Abd Manan berkata, pameran itu ialah aktiviti jelajah ke seluruh Asia yang dilaksanakan bagi tujuan mendekatkan umat Islam melalui khazanah peninggalan Rasulullah dan para sahabat walaupun tidak pernah bertentang mata.

“Saya berharap penganjuran pameran yang bermula jam 10 pagi hingga 10 malam di TTC nanti dapat menarik seramai 200,000 orang dalam tempoh sebulan.

“Saya yakin, pameran ini bukan sahaja dikunjungi rakyat Terengganu tetapi dari seluruh negara dan dunia kerana berdasarkan pameran sebelum ini, terdapat juga orang luar kawasan dan luar negara datang melihat barangan yang dipamerkan,” katanya.

Abd Manan mengajak orang ramai supaya merebut peluang keemasan itu walaupun bayaran RM10 dan RM5 dikenakan terhadap dewasa dan kanak-kanak kerana nilai barang yang dipamerkan lebih mahal malah tiada tolak bandingnya.