KEMAMAN - Walaupun sering dilabel pelbagai tohmahan oleh pihak pembangkang kononnya akan menjadi 'gajah putih' kerana lokasinya di pedalaman, Taman Rekreasi dan Mini Zoo Bukit Takal di sini tetap menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat.

Tinjauan Bernama mendapati peningkatan pengunjung mendadak sempena cuti Tahun Baharu Cina sejak Jumaat lepas.

Penolong Pegawainya, Mohd Eddy Safuan berkata pengunjung meningkat 1,800 hari ini berbanding hanya beberapa ratus pada hari biasa.

"Sejak Jumaat menunjukkan peningkatan pengunjung. Pada hari persekolahan pula, biasanya banyak rombongan murid-murid dari seluruh negara," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Seorang guru, Nor Halimah Sidik, 41, berkata beliau teruja datang ke zoo itu kerana ia terletak di pedalaman Kemaman yang masih terpelihara daripada sebarang pencemaran berbanding zoo lain dalam negara yang terletak di pinggir bandar.

"Saya tiba ke Kuala Terengganu sejak Jumaat kerana hadir perkahwinan sepupu di Chendering... selain ke Pasar Payang, anak-anak mengajak saya datang ke sini untuk melihat lebih dekat habitat haiwan liar di Malaysia," kata Nor Halimah yang menetap di Muadzam Shah, Pahang.

Seorang lagi pengunjung, Raziq Iqbal Hakim, 24, pula datang ke zoo itu bersama kawan-kawannya selepas menziarahi keluarga angkat mereka ketika menuntut di Universiti Malaysia Terengganu dua tahun lepas.   

"Saya akui mini zoo ni memang unik. Paling seronok menaiki jambatan gantung...pengalaman baharu buat kami...takut juga sebab di bawah tu ada harimau dan singa," katanya ketawa.

Mula dibuka sejak April 2009 di kawasan seluas 54 hektar, ia adalah hasil gabungan kawasan pameran 100 spesies haiwan, taman rekreasi air, taman tema dan kebun buah-buahan di habitat semula jadi kunang-kunang yang terbesar di pantai timur serta laluan kanopi sepanjang 1.2km.

Mini zoo berkenaan mengenakan bayaran masuk RM15 bagi pelancong asing, RM10 (dewasa), RM5 (kanak-kanak) dan RM3 (pasukan seragam sekolah). - Bernama