KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman mengakui kesilapannya ketika menjalankan pandu uji ke atas bas amfibia di Sungai Terengganu, semalam menyebabkan ia terpaksa melalui proses menyelamat.

Menurutnya, beliau mengambil risiko memandu uji bas itu sendiri bagi menilai tahap keselamatan dan secara tidak sengaja hos bagi menghubungkan blower (tekanan udara/gas) bas itu tercabut kerana cara pemanduannya tidak betul.

“Mungkin kesilapan saya tak bawa bas itu secara perlahan, saya tak pernah bawa, jadi saya terus pecut laju (cecah 8 knot) kelajuan. Masa tu bas ini tak ada penumpang, hanya ada beberapa sahaja yang naik atas risiko sendiri.

“Untuk bawa bas ini memang kena ada lesen. Sebab bas pun masih dalam proses, jadi saya ambil kesempatan yang ada untuk pandu sendiri, pada peringkat awal mereka tak benarkan saya naik, tapi sebab saya dah pernah naik di Hungary, jadi saya berani ambil risiko sendiri,”katanya.

Ahmad Razif berkata, insiden secara tidak sengaja ketika menjalankan pandu uji lebih 20 minit itu membolehkan beliau melihat sendiri proses menyelamat yang dilakukan hanya dalam tempoh 10 minit.

Proses menyelamat itu dilakukan bahagian Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Bila dah berlaku keadaan (hos untuk blower tercabut), saya minta supaya jangan pasang semula, saya nak lihat kaedah operasi menyelamat berlaku. Jadi. tahniah diucapkan kepada pasukan menyelamat kita kerana operasi menyelamat berlaku dalam tempoh 10 minit.

“Itu dalam keadaan tak bersedia, jadi selepas ini saya akan minta simulasi menyelamat begini diteruskan dalam semua keadaan terutama bagi keadaan yang tak dijangka memandangkan ia (bas) boleh beroperasi di air dan di darat,” katanya.

Ahmad Razif berkata, tempoh percubaan yang diberikan akan dimanfaatkan sebaik mungkin bagi membolehkan pihaknya bersedia sekiranya terdapat kerosakan pada bas itu.

“Saya tak ada isu yang boleh digembar-gemburkan berkait benda ini kerana ia bukan hanya yang pertama di Terengganu malahan yang pertama di Asia Tenggara. Tak ada negara lain yang ada benda ini. Sebab itu saya nak pastikan betul-betul puas hati sebelum mulakan operasi.

“Kalau ada apa-apa yang berlaku sepanjang tempoh ini kita boleh minta ‘claim’. Tambahan pula bas ini makan masa yang lama untuk sampai ke sini, berbulan-bulan, ada juga kecacatan yang mungkin tidak dapat dielak,” katanya.

Ditanya mengenai tindakan individu menularkan proses menyelamat bas itu semalam, katanya, dia hanya mendoakan semoga pihak terbabit menerima hidayah.

“Dalam soal ini, sukar untuk kita cakap. Macam di Ekspo Terengganu 2018 sebelum ini kita terima kunjungan 625,000 yang datang, alih-alih cerita imam dan bilal yang pihak sebelah sana mainkan dan jadikan isu, jadi, dalam hal ini rakyat boleh nilai.

“Bas amfibia ini pun dalam proses untuk dapatkan lesen bawa, minggu depan saya difahamkan bas ini akan ada ujian dengan JPN dan Jabatan Laut. Jadi, kita doakan yang terbaik kerana bas ini akan memberi banyak peluang kepada rakyat setelah ia dapat beroperasi sepenuhnya nanti,” katanya.