KUALA TERENGGANU - Kerajaan Caretaker akan mengambil semua fungsi dan tanggungjawabnya sepertimana diperuntukkan dalam Perkara 43 (1) Perlembagaan Persekutuan, sebaik Dun Terengganu dibubarkan hari ini.

Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong berkata, ia berkuat kuasa hari ini sehinggalah kerajaan baharu yang akan dilantik selepas pilihan raya nanti.

"Dun Terengganu telah dibubarkan secara rasmi hari ini, selaras dengan peruntukan di bawah Perkara 44 (2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri  Terengganu.

"Setelah Dun dibubarkan, mengikut Perkara 44(4) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman, maka hendaklah diadakan pilihan raya umum dalam masa 60 hari dari tarikh pembubaran Dun, yakni dalam tempoh masa 9 Jun 2018," katanya ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Jelasnya, mengikut Perkara 44(4) Para Dua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Terengganu juga, Dun yang baharu hendaklah dipanggil mesyuarat pada satu tarikh tidak lewat daripada 90 hari daripada tarikh pembubaran.

Ini bermakna, tarikh akhir Dun mesti bermesyuarat selepas Dun dibubarkan secara rasmi ialah pada 9 Julai 2018.

"Dengan pengisytiharan pembubaran Dun ini, urusan selanjutnya terletak kepada bidang kuasa pihak Suruhanjaya Pilihan Raya untuk melaksanakan proses pilihan raya umum," katanya.

Sebelum itu, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyah, Kuala Terengganu pagi tadi bagi memohon perkenan pembubaran Dun Terengganu.

Watikah pembubaran kemudiannya diserahkan kepada Mohd Zubir, sebelum diserahkan kepada Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya Negeri Terengganu, Nik Andy Suwardy Amry bagi membolehkan Pilihan raya Negeri dan Pilihan raya Umum dapat diselaraskan dan diadakan secara serentak.