BATU RAKIT - Kegigihan ditunjukkan kakaknya ketika melanjutkan pengajian di luar negara, akhirnya memberi inspirasi buat Wan Nor Madhihah Wan Mohamad, untuk turut mengikut jejak langkah sama.

Nor Madhihah anak kelahiran Kampung Pagar Besi, di sini, merupakan antara 43 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu yang terpilih sebagai penerima Program Penajaan Pendidikan Petronas (PESP).

"Saya teruja dengan kecekalan dan kegigihan yang ditunjukkan kakak, Wan Farhana, yang mengikuti jurusan perubatan selama enam tahun di University Palacky, Republik Czech.

"Semasa kakak berangkat ke Republik Czech, saya masih di dalam darjah lima di Sekolah Kebangsaan Pagar Besi, Kuala Nerus dan dari situlah saya bertekad untuk berjaya dan melanjutkan pengajian ke luar negara," katanya.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu lagi, tiada kata-kata yang dapat digambarkan sebaik menerima panggilan mengatakan dirinya terpilih sebagai salah seorang penerima tajaan Petronas.

"Semua orang impikan untuk mendapat tajaan daripada Petronas, Alhamdulillah akhirnya rezeki saya dapat.

"Saya ingin ambil kesempatan ini untuk ucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya ayah dan ibu yang banyak berkorban untuk membesarkan kami adik beradik," katanya yang bercita-cita untuk menjadi jurutera kimia.

Anak kepada pasangan Wan Mohamad Ishak, 72, dan Zaiton Ismail, 60, itu bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di University Lakeside Campus, Australia, selepas pengajian peringkat asasinya di Taylor’s College Subang Jaya, tahun depan.

Sementara itu, Wan Mohamad Ishak berkata, meskipun tidak mampu membesarkan anak-anaknya dengan kemewahan, namun dia tetap meletakkan pendidikan sebagai keutamaan.

"Walaupun Nor Madhihah merupakan anak bongsu dalam keluarga, dia tidak dimanjakan oleh saya dan isteri. Jadi kami sangat bersyukur dan berharap agar dia berjaya mencapai cita-cita nanti," katanya yang merupakan bekas tukang kebun.