KUALA TERENGGANU – Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) menetapkan kadar zakat fitrah pada tahun ini tidak kurang RM7 bagi setiap seorang.

Yang Dipertua Maidam, Datuk Osman muda berkata, kadar tersebut berdasarkan harga beras Gred Super Tempatan setelah mengambil kira nilai bersamaan dengan beras 10 peratus dan lima peratus hancur.

“Bagi individu yang menggunakan beras dari jenis Super Import pula, kadar bayaran adalah bersamaan dengan nilai 2.6 kilogram (kg) beras terbabit atau 2.97 cupak bersamaan satu gantang Baghdad.

“Manakala, pembayaran zakat fitrah tahun ini hanya boleh dilakukan dengan wang tunai sahaja,” katanya pada sidang media di Kompleks Seri Iman, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Wan Ismail Sahaimi Wan Omar.

Menurut Osman, orang ramai boleh membuat pembayaran zakat fitrah melalui mana-mana kaunter bayaran zakat Maidam bermula jam 8.30 pagi hingga 4 petang pada hari bekerja.

“Kesemua kaunter termasuk di Pusat Transformasi Bandar (UTC) akan dibuka tujuh hari seminggu bermula 1 Jun hingga 14 Jun 2018 bagi memberi kemudahan kepada masyarakat Islam di negeri ini.

“Perkhidmatan kaunter bayaran zakat di UTC pula akan dibuka sehingga jam 9.30 malam,” katanya.

Dalam pada itu, Osman berkata, bayaran zakat boleh dibuat melalui 1,021 amil dilantik yang ditempatkan di setiap masjid dan surau di seluruh negeri.

“Setiap bayaran dibuat perlu pastikan menerima resit rasmi Maidam daripada amil berkenaan bagi mengelak berlakunya sebarang kesulitan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, Maidam akan mula mengagihkan bantuan zakat sempena Ramadan kepada asnaf yang layak di seluruh negeri bermula 20 Mei ini.

“Tahun ini Maidam memperuntukkan sebanyak RM12,825,600 di bawah sinf faqir/miskin melibatkan seramai 26,435 bilangan ketua isi rumah.

“Manakala bagi sinf mualaf, Maidam memperuntukkan sebanyak RM550,000 dan diagihkan kepada 1,100 ketua isi rumah,” katanya.

Tahun lalu, Maidam telah memungut sebanyak RM6,154,278.60 yang menyumbang kepada 4.4 peratus daripada jumlah keseluruhan pungutan zakat bagi negeri Terengganu yang berjumlah RM137,949,523.03.