KUALA TERENGGANU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu tidak akan berkompromi terhadap pengusaha dan pemandu kenderaan awam yang mengabaikan aspek keselamatan sehingga boleh merisikokan nyawa penumpang.

Pengarah JPJ Terengganu, Zulkarnain Yasin berkata, ia termasuklah penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu.

Menurutnya, semasa Ops Hari Raya Aidilfitri 2018 yang lalu, tiga pemandu bas didapati positif dadah setelah ujian urin dijalankan, menyebabkan tindakan penahanan lesen memandu telah dibuat serta-merta.

“Pemandu yang terlibat ini berusia antara 34 dan 35 tahun, yang mana kita kesan di terminal bas, sebelum mereka memulakan perjalanan. Kita telah serahkan mereka kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) untuk tindakan selanjutnya.

“JPJ Terengganu juga ada menetapkan anggota untuk membuat penyamaran sebagai penumpang bas. Pada tahun ini, sebanyak 30 penyamaran anggota telah dibuat sepanjang tempoh Ops HRA berlangsung dari 8 hingga 24 Jun lalu.

“Antara yang kita ambil tindakan ialah satu kesalahan iaitu menggunakan telefon bimbit semasa memandu dan tindakan saman telah dikeluarkan sebaik sahaja sampai di terminal,” katanya pada sidang media ‘post mortem’ Ops Hari Raya Aidilfitri 2018 yang diadakan di Ibu pejabat JPJ Terengganu di sini, semalam.

Jelasnya, sejumlah 258 bas di terminal dan lokasi pemeriksaan bas diperiksa sepanjang Ops berkenaan.

Selain itu, pemeriksaan di depot juga dibuat terhadap 70 buah bas dan didapati lima buah daripadanya dikesan melakukan kesalahan teknikal iaitu melibatkan empat buah tayar dan sebuah cermin retak.

“Sebagai langkah pencegahan, kita sentiasa membuat pemantauan berterusan, bukan sahaja semasa musim perayaan tetapi setiap hari. Kita juga tempatkan anggota JPJ di terminal bas bagi memastikan pematuhan peraturan yang ditetapkan.

“Kita akan periksa semua aspek, termasuklah daripada segi keadaan fizikal bas, penyediaan pemandu kedua malah, kita juga semak buku log untuk memastikan pematuhan daripada segi undang-undang,” katanya.