JERTIH - Rakyat negeri ini menyambut baik hasrat kerajaan negeri untuk menaiktaraf jalan kepada empat lorong bermula dari Kampung Raja sehingga ke Kuala Terengganu  kerana ia memberikan kemudahan berganda.

Ketua Umno Bahagian Besut, Nawi Mohamad berkata, pengumuman terbaharu dibuat Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman ketika mengunjungi daerah ini Jumaat lalu untuk membina jalan tersebut adalah khabar menggembirakan penduduk daerah ini dan daerah lain termasuk Setiu.

Menurutnya, jajaran laluan melalui jalan pantai negeri itu bermula di Pengkalan Nyireh melalui Dendong dan Taman Ilmu seterusnya ke Kuala Terengganu melalui jalan sedia ada.

“Pembinaan jalan dua lorong sebelah sudah tentu akan memberi keselesaan dan kemudahan kepada rakyat untuk berulang alik ke Kuala Terengganu dalam masa singkat,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Perusahaan Perladangan dan Komoditi negeri.

Beliau ditemui pada Majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Bantuan kepada kakitangan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Besut yang terlibat banjir di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Gerai di sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) negeri, Abd Mubin Abd Razak.

Nawi berkata, pembinaan jalan empat lorong sejauh kira-kira 100 kilometer itu akan memendekkan masa perjalanan dengan kenderaan dari Besut ke Kuala Terengganu kepada kira-kira 45 minit berbanding hampir dua jam sekarang.

Menurutnya, pembinaan jalan itu akan memudahkan penduduk daerah ini termasuk Setiu untuk ke Kuala Terengganu terutamanya untuk melakukan pelbagai urusan rasmi dan membeli belah.

“Kita juga akan mohon dengan kerajaan negeri untuk turut menaiktaraf kepada dua lorong sebelah jalan dari bandar Jertih ke Pangkalan Nyireh bagi menghubungkan jalan yang akan dibina itu,” katanya.

Nawi berkata, rakyat turut menyambut baik kesanggupan Ahmad Razif untuk meneruskan semua projek yang dirancangkan di daerah ini terutama yang berjalan sejak zaman Datuk Seri Idris Jusoh menjadi menteri besar antaranya Kompleks Imtiaz, Jertih Souq, Taman Ilmu dan beberapa projek lain.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PONTIAN - Sudah sekian lama penduduk Pontian terpaksa menggunakan laluan di Pekan Nanas untuk berulang alik ke Johor Bahru.
  • MENGABANG TELIPOT - Penduduk tidak menolak kemungkinan jalan yang menghubungkan Mengabang Telipot - Pengkalan Maras, di sini, bakal terputus berikutan hakisan pantai yang semakin teruk di kawasan berkenaan.
  • ALOR SETAR - Peruntukan kerajaan di bawah Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) kepada Kedah terus dipersoal ekoran tiada sebarang kerja-kerja penyelenggaraan jalan dilaksanakan di sekitar negeri ini khususnya di kawasan pusat bandar Alor Setar.
  • TASEK GELUGOR - Penduduk sekitar Telok Air Tawar meminta pihak bertanggungjawab membina jejantas di hadapan Masjid Daerah untuk kemudahan mereka.
  • BANDAR BAHARU - Tindakan anak muda menjadikan jalan raya di Kampung Sungai Batu, dekat sini, sebagai trek lumba haram pada setiap petang, menggusarkan penduduk setempat.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.