KUALA TERENGGANU – Seorang remaja berusia 16 tahun terpaksa ponteng sekolah demi menguruskan adik dan kakaknya yang kurang upaya (OKU) selepas ibu mereka yang berusia 42 tahun menghilangkan diri hampir sebulan lalu.

Fatin Nabila Tain yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar, di sini berkata, selepas ketiadaan ibunya, dia mengambil alih tugas menjaga kakaknya, Radziah yang lembam dan adiknya, Muhammad Fairul Razi, 9 yang mengalami masalah OKU pelbagai.

“Sekarang dah hampir seminggu saya tidak ke sekolah kerana ayah ada banyak urusan untuk diselesaikan. Kalau tidak, saya akan ke sekolah menaiki basikal atau motosikal.

“Selepas ibu pergi, tiada siapa yang menguruskan adik dan kakak, ayah pula terpaksa bekerja berulang alik ke Gong Badak dengan menaiki basikal kerana dia tak pandai menunggang motosikal.

"Ada yang bermurah hati beri sumbangan motosikal tetapi ayah tak pandai bawa,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di kediamannya di Pulau Kambing, di sini.

Keadaan rumah sewa yang didiami Fatin sekeluarga.

Fatin Nabila berkata, dia mempunyai seorang lagi adik, Nur Ariana Alisa, 7 yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Hiliran, namun, adiknya itu juga sudah hampir seminggu tidak ke sekolah.

“Nur Ariana Alisa ada masalah jantung, dia tak juga ke sekolah sebab tak ada orang nak uruskan memandangkan banyak urusan yang perlu diselesaikan ayah buat masa ini,” katanya.

Menyingkap peristiwa ditinggalkan ibu, katanya, dia tidak berharap lagi ibunya kembali, cukuplah sekadar dia dapat menjaga adik beradiknya.

“Saya sebenarnya tidak berharap pun dia kembali, cukuplah perubahan drastik yang ditunjukkan (ibu) sejak dua, tiga tahun kebelakangan ini.

“Saya harap adik-beradik dapat dijaga dengan baik dan saya juga berharap saya dapat menamatkan persekolahan dan dapat bekerja bagi membantu ayah saya,” katanya.

Nasib Pok Burn sekeluarga dapat perhatian

Kesulitan dialami bapa Fatin Nabila Tain atau lebih dikenali sebagai Pok Burn mendapat perhatian netizen selepas kisahnya menjadi tular di laman facebook Kuala Terengganu Residen (Kuterer).

Pok Burn terpaksa mengayuh basikal setiap hari dari rumah sewanya di Pulau Kambing untuk ke Gong Badak bagi mencari rezeki.

Susulan kesulitan dialami warga emas itu, Admin Kuterer, Khairil Zuhdi Khairuddin, melancarkan kutipan sumbangan yang diperoleh sebanyak RM850 bagi membeli barangan keperluan selebihnya diberikan kepada keluarga itu, Isnin lalu.

Khairil Zuhdi berkata, pihaknya berusaha membantu untuk memasukkan dua anak OKU tersebut ke Taman Sinar Harapan bagi membolehkan Fatin Nabila kembali semula ke sekolah.

“Insha-ALLAH, kita akan berusaha dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memasukkan dua anak Pok Burn ke pusat jagaan itu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :