KEMAMAN - Kesemua peniaga kiosk di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Perasing, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) terpaksa menanggung kerugian saban hari ekoran hasil jualan yang diperoleh tidak sampai RM10 walaupun 24 jam berniaga.

Masalah berkenaan berlaku disebabkan tidak ramai pengguna lebuh raya itu singgah di hentian itu berikutan kawasan berkenaan terpalit dengan pelbagai cerita hantu yang ditularkan di media sosial.

Susulan itu, kesemua peniaga berkenaan tampil menafikan bahawa adanya gangguan mistik di kawasan berkenaan kerana sepanjang berniaga di hentian itu sejak Mei 2015 mereka masih belum berdepan dengan gangguan seperti yang didakwa.

Aliran trafik tinggi, tapi pengunjung kurang

Peniaga air minuman, Nurul Hafizah Abdul Karim, 24, berkata, Hentian R&R Perasing yang merupakan hentian terbesar di negara ini selamat untuk disinggahi walaupun pada waktu malam.

Menurutnya, hentian itu cantik, luas, moden dan lengkap dengan pelbagai kemudahan tetapi tidak dimajukan serta tidak menerima kunjungan ramai.

“Jadi kita mohon agar kerajaan negeri jadikan Hentian R&R Perasing ini sebagai duta kecil untuk mempromosikan Tahun Melawat Terengganu 2017 memandangkan kawasan ini adalah pintu masuk kepada negeri ini.

“Kita cadangkan diwujudkan satu pusat informasi pelancongan atau ‘tourism centre’ di hentian ini untuk kemudahan pelancong dan pada masa sama dapat rancakkan program di tempat ini yang dapat tarik kehadiran pengunjung sekaligus dapat meningkatkan pendapatan kami para peniaga,” katanya.

Menurutnya, keadaan ketika ini sangat kritikal kepada peniaga kerana ada juga dalam kalangan mereka yang kadangkala tidak dapat memungut walaupun satu sen hasil jualan dalam tempoh sehari.

“Malah saya sendiri pernah peroleh RM2 saja sehari. Dengan wang jualan sikit sebegini nak bayar sewa pun tak lepas dan kebanyakan kami terpaksa guna wang dari sumber lain sebagai modal pusingan.

“Kalau keadaan ini berterusan, memang kami akan gulung tikar. Kami masih bertahan sampai sekarang sebab fikirkan modal melebihi RM20,000 yang telah dilabur untuk beli peralatan dan hias kiosk,” katanya.

Peniaga kiosk Keropok Cap Mutiara, Nur Akmal Alias, 36, yang berniaga di hentian itu sejak lapan bulan lalu berkata, apa yang mereka alami sekarang adalah keadaan yang sangat dahsyat berikutan masalah kekurangan pengunjung yang ketara walaupun mereka difahamkan jumlah aliran trafik di LPT2 pada hari biasa adalah kira-kira 300,000 sebulan manakala pada musim perayaan dan hujung minggu lebih kurang 700,000 jumlah pengguna sebulan direkodkan.

“Saya kerap tidur kat kiosk ditemani suami dan anak-anak. Sepanjang tidur dan berniaga memang kami tak pernah jumpa makhluk halus. Jadi tiada apa yang patut digeruni oleh orang ramai untuk singgah di sini,” katanya.

16 kiosk beroperasi

Hentian R&R Perasing memiliki sebanyak 32 buah kiosk makanan dan minuman yang memiliki 300 buah kerusi, dua kiosk dalam kaca bersaiz besar, 44  buah tandas dan kemudahan lain seperti surau yang besar serta taman permainan kanak-kanak.

Setakat ini hanya 16 kiosk minuman dan makanan yang beroperasi sementara bakinya masih kosong dan daripada jumlah kiosk beroperasi itu mereka menjual variasi makanan dan minuman termasuk yang beridentitikan Terengganu iaitu keropok lekor.

Dalam pada itu, peniaga kiosk produk bakeri pula, Mohsin Mokhtar, 37, berkata, dia amat gembira jika berjaya memperoleh hasil jualan RM100 sehari.

“Sekarang saya terpaksa guna duit dari perniagaan lain untuk terus berniaga di sini. Malahan dah empat kiosk ditutup di sini, kalau kesemua peniaga lari yang ruginya kerajaan negeri juga sebab bangunan ini mungkin terbiar begitu saja.

“Yang penting kerajaan juga perlu segerakan pembinaan jalan dari kawasan penempatan di Jabor dan Perasing Jaya ke sini untuk bolehkan penduduk sekitar ini datang makan dan minum di sini tanpa lalui lebuh raya,” katanya.

Menurut seorang lagi peniaga air minuman dan snek, Napisah Mat Saman, 52, pendapatan dia dan suaminya, Syed Jafaar Yahya, 48, hanya bergantung pada kutipan hasil jualan kiosk mereka itu.

“Duit hasil jualan ni nak buat makan pun tak lepas. Inikan pula kalau nak buat bayar sewa RM530 sebulan. Patutnya sewa asal RM1,060  tapi pihak konsesi bagi diskaun separuh harga,” katanya.

Jadikan meeting point

Mengulas mengenai masalah yang membelenggu peniaga itu, Exco Infastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga dan Teknologi Hijau negeri, Ir Rosli Othman menzahirkan rasa simpati dengan nasib kesemua peniaga hentian tersebut.

Menurutnya, beliau akan mengatur perjumpaan dengan kesemua penjual tersebut dalam masa terdekat untuk membincangkan kaedah-kaedah yang boleh diambil bagi mengatasi masalah berkenaan.

“Buat masa ini saya dah berbincang dengan pihak pengurusan Plus Malaysia Bhd agar tidak menaikkan kadar sewaan dan caj-caj sehingga keadaan bertambah baik di pihak penjual.

“Antara langkah yang kita boleh ambil adalah menjadikan kawasan R&R Perasing ini sebagai ‘meeting point’ masyarakat di kawasan ini. Ini boleh terlaksana dengan pembinaan jalan yg menghubungkan R&R ini dengan kawasan sekitar seperti dalam perancangan asal. Kos pembangunan jalan perhubungan ini dianggarkan sebanyak RM20 juta,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA BERANG - Volum kenderaan menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) dijangka meningkat kira-kira empat kali ganda sepanjang musim perayaan ini.
  • GONG KEMUNTONG - Peniaga industri kecil dan sederhana (IKS) kini boleh meluaskan pasaran produk mereka melalui portal e-Dagang dikenali Payang.my yang dibangunkan kerajaan Terengganu untuk memberi akses jualan kepada peniaga.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.