KUALA TERENGGANU - Taktik licik tiga ahli kumpulan 'Geng Pak Itam' menggunakan serpihan plug motosikal yang dihancurkan untuk memecahkan cermin kereta sebelum melarikan barang berharga terbongkar apabila mereka ditahan, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Idris Ab Rafar berkata, kewujudan 'Geng Pak Itam' yang didalangi tiga individu termasuk seorang bekas isteri pegawai polis dikesan ekoran 18 laporan kejadian pecah cermin kereta di kawasan masjid di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang berlaku sejak awal tahun ini.

Menurut beliau, kesemua ahli geng berkenaan ditumpaskan susulan penahanan suspek utama, 4,0 bersama suspek wanita ,28, di dalam sebuah kereta yang diparkir di kawasan Masjid Raja Bukit Besar, di sini, kira-kira jam 5 pagi.

"Kedua-dua suspek ditahan selepas didapati berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan parkir masjid sebelum pemeriksaan lanjut menjumpai barang kes berkait kes pecah kereta yang dilaporkan sebelum ini.

"Antara yang dirampas termasuk serangkai anak kunci kereta jenis Mercedes Benz dan kunci rumah, satu beg mengandungi buku kitab, sarung tangan dan sebatang besi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu, di sini, hari ini.

Idris berkata, bertindak atas maklumat kedua-duanya, suspek ketiga, 36, ditahan di sebuah rumah di Kampung Durian Burung, di sini, kira-kira jam 11.30 pagi, hari sama.

"Hasil maklumat diperoleh daripada ketiga-tiga suspek selepas disoal siasat, polis membuat rampasan barang-barang kes di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah rumah di Jalan Sultan Omar dan di Pulau Kambing, di sini.

"Kesemua barang yang dirampas didapati berkait dengan lima kes pecah kereta di sekitar Kuala Terengganu termasuk kes pecah kereta milik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor yang dilaporkan pada 25 Jun lalu di Kuala Ibai, di sini," katanya.

Jelas Idris lagi, siasatan awal mendapati kesemua ahli 'Geng Pak Itam' mengaku melakukan sebanyak 10 kes jenayah pecah kereta di sekitar Kuala Terengganu.

"Modus operandi mereka menggunakan serpihan plug motosikal yang dihancurkan untuk memecahkan cermin kereta yang mana sasaran adalah semua jenis kereta dan MPV yang diletakkan di kawasan masjid.

"Mereka memilih masjid-masjid berhampiran jalan utama yang menjadi tumpuan orang ramai untuk berhenti solat dan waktu sasaran adalah dari jam 2 pagi hingga 6 pagi," katanya.

Idris berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kesemua suspek yang masing-masing memiliki rekod jenayah lampau positif dadah jenis methamphetamine.

"Mereka kini direman sehingga Rabu depan untuk disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.

"Bagi kesalahan itu, mereka boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan," katanya.