KUALA TERENGGANU- Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) telah menganugerahkan kontrak bernilai RM168 juta untuk kerja-kerja pembinaan utama dan infrastruktur di Taman Biopolimer Kerteh (KBP), Kemaman, baru-baru ini.

Ia sekali gus mendorong pertumbuhan sosioekonomi Terengganu, di samping terus memperkukuh usaha bersepadu Kerajaan Persekutuan melalui ECERDC dengan kerjasama Kerajaan Terengganu dalam melaksanakan projek-projek infra rakyat berimpak tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Seri Jebasingam Issace John berkata, kontrak itu meliputi kerja-kerja tanah, pembinaan jalan dan perparitan, perkhidmatan utiliti serta lain-lain kerja berkaitan.

“KBP yang berkeluasan 170 hektar setakat ini telah menarik pelaburan bernilai RM4.78 bilion dan akan mewujudkan 5,119 peluang pekerjaan.

“Selain itu, sebuah kawasan seluas 80 hektar telah dikenal pasti untuk perluasan Fasa 3 KBP bagi menampung permintaan yang kian meningkat dalam sektor bio-ekonomi daripada pelabur tempatan dan asing,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, di sini.

Selain itu, jelasnya, dalam aspek pelancongan, ECERDC sedang membina sebuah jeti bernilai RM4.85 juta di Teluk Bakau, Pulau Redang yang dibiayai melalui Dana Pemangkin ECER bagi menyediakan kemudahan fasiliti yang lebih baik untuk penduduk di pulau tersebut serta para pengunjung.

Projek infrastruktur itu dijangka akan mengukuhkan kedudukan Pulau Redang sebagai sebuah destinasi pilihan pelancong, yang telah disenaraikan sebagai salah satu daripada 10 pulau terbaik untuk percutian di Malaysia oleh CNN Travel.

“Sektor bio-ekonomi dan pelancongan merupakan antara industri pesat berkembang di Terengganu, dengan masing-masing menyumbang  22.4 peratus dan 12.5 peratus daripada jumlah pelaburan swasta keseluruhan di negeri ini. Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan menyumbang  51.1 peratus.

“Sehingga Ogos 2017, Terengganu menerima pelaburan swasta bernilai RM29.7 bilion. Pertumbuhan pelaburan yang kukuh ini, serta program-program pembangunan modal insan ECERDC, akan wujudkan lebih 38,456 pekerjaan dan 6,800 peluang keusahawanan untuk Rakyat,” katanya.

Sementara itu, Issace berkata, ECERDC turut bekerjasama dengan Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) untuk menawarkan insentif dan sokongan kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

Sehingga kini jelasnya, sejumlah 71 syarikat dengan pelaburan bernilai RM3.9 bilion di Terengganu telah menerima insentif daripada ECERDC atau dana mudah cara daripada TERAJU@ECER, atau kedua-duanya.

Daripada pelaburan-pelaburan tersebut, lebih 7,744 peluang pekerjaan dijangka akan diwujudkan untuk rakyat.

“Pihak kami kini sedang dalam proses mengkaji semula strategi semasa untuk ECER, termasuklah Terengganu, yang akan diumumkan tahun hadapan untuk mengekalkan pertumbuhan sosioekonomi Wilayah ini agar sejajar dengan Agenda Transformasi Nasional.

“Malah, industri logistik dan fasilitasi perdagangan dijangka akan menjadi sebuah sektor pertumbuhan yang bakal melonjakkan negeri ini ke fasa perkembangan seterusnya,  dengan memanfaatkan peningkatan kesalinghubungan di serata wilayah ini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JERANTUT - Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) diminta membantu kerajaan negeri menyediakan prasarana, latihan akademik dan keusahawanan untuk penduduk kaum Tionghua yang berpendapatan rendah di negeri ini selaras dengan konsep 1Malaysia.
  • MARAN - Tanaman kelapa sawit serta ternakan biri-biri merupakan projek agropolitan di bawah Majlis Pembangunan Ekonomi Wilayah Pantai Timur (ECERDC) yang pastinya menjadi aktiviti utama penduduk Orang Asli diharapkan terus dapat membantu ekonomi mereka di Runchang, di sini.