MARANG - Empat nelayan hilang punca pendapatan selepas bot gentian kaca mereka rosak akibat ribut yang melanda persisir pantai Kampung Baru Kelulut, di sini, hari ini.

Menurut Pegawai Khas Adun Rhu Rendang, Wahab Osman, kejadian itu disedari nelayan terbabit ketika hendak meneruskan rutin turun ke laut menangkap ikan kira-kira jam 6.45 pagi.

“Saya terus meninjau ke lokasi sejurus dimaklumkan mengenai kejadian. Setakat ini kita tunggu laporan lebih lengkap daripada mangsa termasuk daripada persatuan nelayan kawasan dan perikanan.

“Saya difahamkan mereka juga sudah membuat laporan polis untuk memudahkan permohonan bantuan dibuat. Kita akan berusaha untuk bantu supaya dapat ringankan beban mereka,” katanya di sini, hari ini.

Wahab berkata, kejadian  tu menyebabkan empat nelayan terbabit mengalami kerugian kira kira RM17,000 berikutan sebahagian bot gentian kaca berkenaan terjejas dan perlu segera dibaiki.

“Mereka  terkejut apabila mendapati bot masing masing tenggelam jauh dari lokasi asal dan sekarang tidak dapat turun ke laut seperti biasa sehingga bot mereka dibaik pulih semula.

“Kerosakan dua buah bot gentian kaca masing-masing berjumlah RM6000, sebuah lagi RM3000 dan yang terakhir RM2000 menjadikan keseluruhan kerugian ditanggung berjumlah RM17,000," katanya.