MARANG - Pemuda Pas bimbang sekiranya penganjuran pesta arak atau Oktoberfest diteruskan akan menzahirkan kemungkaran seterusnya mengundang kemurkaan ALLAH.

Sehubungan itu, Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi berpendapat penganjuran pesta arak atau Oktoberfest itu tidak boleh dilakukan.

Menurutnya, pesta arak adalah simbolik kebiadapan pihak tertentu kerana penganjuran dilakukan secara terbuka mencerminkan sikap tidak menghormati agama dan budaya majoriti umat Islam di Malaysia.

"Tambahan lagi, pesta arak tersebut pasti akan mengundang perilaku buruk sekaligus memudaratkan orang lain.

"Kebanyakan negara-negara luar juga menghalang pesta arak tersebut kerana dampaknya agak kritikal seperti pelakuan jenayah, kerosakan harta benda dan kematian.

"Tidak ada sebab dan keperluan untuk membenarkan pesta arak tersebut dilakukan di negara ini, katanya dalam satu kenyataannya di sini, semalam.

Beliau berkata, Pemuda Pas kekal berpendirian bahawa orang-orang bukan Islam tidak ditegah untuk minum arak dan mereka berhak minum arak selagi tidak mengganggu gugat kepentingan orang lain.

Menurutnya, contoh gangguan seperti pergaduhan, kemalangan dan pembunuhan boleh berlaku disebabkan hilang pertimbangan kewarasan akal. Bagi orang Islam, hukum minum arak adalah haram secara jelas.

"Oleh itu, Pemuda Pas Malaysia menyokong penuh kenyataan pemimpin tertinggi Pas mengenai larangan keras ini dan sepatutnya ia dicontohi oleh parti-parti politik yang lain.

"Sekali lagi ingin ditegaskan bahawa Pas tidak menghalang orang bukan Islam minum arak tetapi tidak sesekali bersetuju dengan penganjuran pesta tersebut.

"Umat Islam harus bimbang sekiranya kemungkaran dizahirkan maka ia akan mengundang kemurkaan dari ALLAH," katanya.