KEMAMAN - Untuk meningkatkan pendapatan nelayan sungai secara berterusan, sebanyak 294,100 benih ikan dan udang yang dianggarkan bernilai RM121,550 dilepaskan Jabatan Perikanan Terengganu ke dalam sungai di negeri ini dari Januari lalu hingga sekarang.

Jumlah itu termasuk sebanyak 90,400 ekor benih ikan dan udang dianggarkan bernilai RM37,000 yang dilepaskan ke Sungai Kemaman di Kampung Air Putih, di sini, semalam.

Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali berkata, di Kemaman sahaja sejak 2014 hingga semalam, pihaknya telah melepaskan sebanyak 230,800 ekor benih ikan dan udang yang kesemuanya bernilai kira-kira RM126,000.

Katanya, benih-benih yang dilepaskan itu terdiri daripada ikan dan udang bernilai tinggi iaitu kelah, lampam sungai, siakap dan udang galah.

"Pelepasan benih ini akan  menambah pendapatan nelayan sungai dan penduduk kampung kerana ikan-ikan itu mempunyai nilai pasaran yang mahal seperti harga  kelah seekor yang beratus-ratus ringgit.

"Benih yang dilepaskan hari ini dijangka boleh ditangkap dalam tempoh lapan bulan lagi iaitu pada Jun tahun depan," katanya setelah melepaskan benih ikan dan udang itu ke perairan umum Sungai Kemaman di Kampung Air Putih semalam.

Pelepasan benih itu turut dilakukan Adun Air Putih, Ab Razak Ibrahim dan nelayan-nelayan sungai.

Pendaratan ikan sungai meningkat

Mengulas lanjut, kata Zawawi, usaha jabatannya melepaskan benih ikan setiap tahun ke dalam sungai terbukti berkesan membantu menambah pendapatan nelayan sungai berdasarkan statistik jumlah pendaratan ikan sungai yang meningkat.

Menurutnya, sejumlah 128.6 tan metrik ikan sungai didaratkan nelayan darat pada 2016 di negeri ini dan jumlah itu meningkat kepada 160 tan metrik pada tahun lalu.

"Analisa data pendaratan bagi daerah Kemaman untuk 2017 dan 2016 menunjukkan ada peningkatan data pendaratan sebanyak 5.8 tan metrik iaitu daripada 23.4 tan metrik pada 2016 kepada 29.2 tan metrik pada 2017.

"Peningkatan ini adalah salah satu kesan daripada program pelepasan oleh pihak jabatan melalui program yang diadakan pada 29 September 2016 dengan pelepasan beberapa spesies ikan iaitu lampam sungai sebanyak (15,000 ekor), baung (5,000 ekor) dan udang galah (30,000 ekor).

Tambah Zawawi, berdasarkan statistik, jumlah pendaratan bagi ikan lampam sungai meningkat sebanyak 32 peratus iaitu dari 1,301.2 kilogram (kg) pada 2016 kepada 1,727.4 kg pada tahun lalu.

Selain itu, katanya lagi, udang galah juga menunjukkan peningkatan pendaratan sebanyak 63 peratus iaitu 1,510.4 kg pada 2016 dan  bertambah kepada 2,461.7 kg pada 2017.

Ditanya mengenai jumlah nelayan sungai di negeri, Zawawi berkata, sehingga tahun lalu terdapat seramai 237 nelayan darat tulen yang berdaftar dengan Pejabat Perikanan Terengganu dan menerima elaun sara hidup nelayan darat sebanyak RM200 sebulan.

Daripada jumlah itu, tambahnya, 85 orang dari Dungun, 78 (Kemaman), 22 (Hulu Terengganu), 15 (Setiu), 13 (Besut), sembilan (Kuala Terengganu), lapan (Marang) dan tujuh Kuala Nerus.

Harap pelepasan benih diperluas

Sementara itu, Ab Razak memuji usaha Jabatan Perikanan Terengganu yang kerap membuat pelepasan benih ikan yang terbukti memberi pertambahan pendapatan kepada nelayan dan penduduk kampung.

Bagaimanapun, beliau berharap agar pelepasan benih turut dilakukan di dua lagi kawasan sungai di Kemaman yang menjadi punca pendapatan kepada nelayan darat tulen.

"Selain di Air Putih, sungai di Cherul dan di Bukit Kuang juga menjadi tempat nelayan sungai mencari rezeki. Jadi kita harap Jabatan Perikanan negeri melepaskan ikan di ketiga-tiga sungai ini.

"Dengan pelepasan benih yang banyak iaitu beribu-ribu benih ikan dan udang, nelayan boleh mengaut pulangan lumayan kerana harga ikan kelah, lampam dan udnag galah mahal di pasaran," katanya.

Minta tingkatkan penguat kuasaan

Dalam pada itu, Ab Razak turut meminta Jabatan Perikanan Terengganu memperhebatkan penguat kuasaan bagi membendung kes pencerobohan sungai yang melibatkan aktiviti menuba, meracun dan mengebom ikan.

"Ketika musim menangkap udang galah berada di kemuncak, ada pihak cuba ambil kesempatan dengan menuba, meracun sungai dan sebagainya menyebabkan banyak ikan mati.

"Keadaan ini merugikan nelayan kita yang menangkap ikan dan udnag dengan mengail, menjala dan menahan pukat.

"Berikutan itu diharapn penguat kuasaan dipertingkatkan di sungai-sungai sekitar Kemaman terutama di Seberang Tayor dan Binjai," katanya.

Minta nelayan dan orang kampung salur maklumat

Susulan masalah yang disuarakan Ab Razak, Zawawi berkata, pihaknya meminta kerjasama nelayan dan orang kampung untuk membuat laporan kepada pihak polis atau kepada pihaknya jika berlaku aktiviti menuba, meracun atau mengebom ikan.

Katanya, dengan jumlah nelayan yang melebihi 230 orang ia boleh membantu pihaknya yang mempunyai penguat kuasa tidak sampai 30 orang dan perlu memantau lebih 20 sungai di Terengganu.

"Mengenai permintaan agar pelepasan benih sama turut diperluaskan ke sungai lain, ia akan diteliti dan kita akan buat.

"Sekarang pelepasan kita lakukan di sungai utama daerah dan benih ikan yang dilepaskan di satu-satu kawasan tidak pergi ke tempat lain jadi bolehlah kita lepaskan di kawasan lain pula," katanya.