KUALA TERENGGANU - Sebahagian benteng Empangan Paya Peda di Besut yang masih dalam pembinaan terpaksa dipecahkan semalam untuk melepaskan takungan air demi keselamatan penduduk kawasan sekitar.

Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata meskipun tindakan itu menyebabkan kawasan sekitarnya dilandar banjir, namun ia terpaksa dilakukan demi mengurangkan risiko tekanan pada kandungan air berlebihan di empangan.

Katanya langkah itu dibuat untuk membolehkan air daripada empangan berkenaan dialir keluar secara terancang.

Berikutan tindakan memecahkan benteng empangan itu, banjir melanda daerah Besut dengan lebih 1,000 penduduk terpaksa dipindahkan setakat ini, ke pusat pemindahan banjir.

"Empangan ini belum lagi siap dan kandungan air di dalamnya mungkin belum sampai tahap maksimum. Kita takut tekanan dan air melimpah dan sebagainya, sebab itu kita terpaksa buat (pecahkan) melibatkan perunding, kontraktor dan JPS (Jabatan Perparitan dan Saliran)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penganugerahan Pingat Emas dan Sarjana Terengganu Yayasan Terengganu (YT) ke-33 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam (TTI) di sini hari ini.

Ahmad menasihati penduduk di daerah berkenaan agar berwaspada, bertenang dan sentiasa mengikuti arahan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berikutan pelepasan air daripada empangan itu.

Beliau berkata beberapa kawasan di daerah Besut sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh dan bukan disebabkan tindakan melepaskan air empangan sepertimana yang berlaku sekarang.

"Walaupun empangan ini siap setahun dua lagi, banjir tetap juga berlaku kerana Besut mempunyai kawasan rendah dan sawah padi. Cuma dengan adanya empangan, ia (banjir) diharap dapat dikurangkan," katanya.

Empangan Paya Peda yang dibina dua tahun lepas dengan kos RM333 juta dijangka siap pertengahan tahun depan.

Projek itu terletak kira-kira 1.5 kilometer di Hulu Angga Barrage dan 17 kilometer dari Bandar Jerteh.

Apabila siap kelak, empangan seluas 77 kilometer persegi itu bakal dijadikan kawasan tadahan dan takungan bagi menampung 168 juta meter padu air untuk tanaman padi dua kali setahun di daerah Besut.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA TERENGGANU - Banjir di Terengganu semakin pulih dengan semua pusat pemindahan di Dungun ditutup sepenuhnya ekoran cuaca baik.
  • KUALA TERENGGANU - Sebanyak RM380,000 peruntukan diperlukan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) bagi membaiki kerosakan yang berlaku terhadap beberapa buah sekolah ekoran musim tengkujuh yang melanda negeri ini sejak November lepas.
  • KUALA TERENGGANU - Hari keempat banjir di Terengganu menyaksikan peningkatan mendadak jumlah mangsa banjir iaitu 1,001 orang daripada 264 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 329 orang (109 keluarga) malam tadi.
  • KUALA TERENGGANU - Banjir di Terengganu tidak banyak berubah dengan enam pusat pemindahan masih dibuka di Dungun dan Kemaman.
  • KUALA TERENGGANU - Keadaan banjir di Terengganu yang masuk hari ketiga tidak banyak berubah dengan 333 mangsa daripada 110 keluarga masih berada di beberapa pusat pemindahan setakat 8 pagi ini berbanding 343 mangsa (114 keluarga) malam tadi.