GONG BADAK - Syarikat penyelenggaraan jalan, Roadcare (M) Sdn Bhd menyasarkan untuk mengurangkan aduan berhubung kerosakan jalan dengan segera menjalankan kerja-kerja membaik pulih sebaik dimaklumkan dalam tempoh tidak melebihi 24 jam.

Pengarah Urusan Roadcare (M) Sdn Bhd, Datuk Seri Muzaffar Syah Abd Rahman berkata, pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mengatasi masalah jalan rosak, selain membuat rondaan secara berkala.

Menurutnya, hasrat mereka adalah untuk mengurangkan aduan kerosakan jalan dengan segera membaiki jalan bagi memastikan keselamatan pengguna.

“Berdasarkan rekod, setiap kali hujung tahun, jumlah aduan jalan rosak yang kita terima mencecah 200 aduan dalam tempoh sebulan.

“Perkara ini disebabkan musim banjir yang menambahkan risiko jalan berlubang atau tanah runtuh. Jadi kita cuba untuk mengurangkan aduan dengan meletakkan pasukan khas yang bersedia 24 jam untuk memantau keadaan jalan pada musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya yang diadakan di Pejabat Roadcare Wilayah Terengganu, di sini.

Muzaffar berkata, selain berdepan aduan berganda pada musim tengkujuh, pihaknya turut mengakui masalah kenderaan lebih muatan turut menjadi faktor utama masalah jalan rosak.

“Soal kerosakan jalan atas faktor cuaca itu (musim tengkujuh) kita tidak dapat dielakkan, namun apa yang memberi beban kepada kita adalah terpaksa membaiki jalan sama berulang kali disebabkan kenderaan lebih muatan.

“Jalan yang dibaiki sepatutnya boleh bertahan sehingga dua tahun, tetapi mengalami kerosakan dalam tempoh yang singkat kerana sikap tidak bertanggungjawab pemandu kenderaan berat. Jadi, kita minta pihak berkuasa untuk memantau keadaan ini serta mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang masih berdegil,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai e-Tapong atau aduan secara atas talian yang dikendalikan Permint Granite-HCM Sdn Bhd sejak lebih dua bulan lalu, Muzaffar memaklumkan sehingga kini lebih 5,000 aduan kerosakan jalan diterima dan tindakan segera diambil.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :