KAMPUNG RAJA - Gara-gara tidak puas hati dengan pembahagian harta pusaka, tiga beradik tergamak membelasah salah seorang darah daging mereka yang lain hingga mendatangkan kecederaan parah dalam kejadian di Kampung Pak Kiang dekat Kampung Keluang di sini kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa 33 tahun cedera parah di beberapa bahagian anggota badan akibat dibelasah dengan objek keras oleh tiga suspek.

Ketua Polis Daerah Besut, Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian tersebut disedari berlaku oleh seorang penduduk kampung apabila dia terdengar bunyi bising seperti orang bergaduh di hadapan rumahnya di kampung itu.

Menurutnya, apabila lelaki keluar, dia dapati  empat lelaki sedang bergaduh dan kesemua mereka adalah adik beradik.

“Lelaki tersebut melihat tiga beradik itu sedang memukul seorang adik beradiknya dengan besi dan kayu . Apabila suspek berhenti memukul mangsa, lelaki tersebut membawa mangsa ke Hospital Besut untuk rawatan,” katanya.

Mohd Zamri berkata, berikutan kecederaan parah dialami mangsa iaitu patah pergelangan tangan kanan dan jari tengah kaki kanan menyebabkan mangsa terpaksa dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Menurutnya, ketiga-tiga suspek bagaimanapun berjaya diberkas polis di beberapa lokasi sejurus laporan dibuat di Balai Polis Kampung Raja.

Kata beliau lagi, tiga beradik yang ditahan berusia 17, 35 dan 37 tahun tinggal di sekitar kampung tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek berusia 35 dan 37 tahun mempunyai beberapa rekod jenayah lampau  ditahan reman untuk siasatan lanjut sementara adik mereka yang berusia 17 tahun sudah tidak bersekolah tidak mempunyai sebarang rekod jenayah dibebaskan dengan jaminan polis,” katanya.

Mohd Zamri berkata, polis diberitahu punca kejadian disebabkan tiga beradik tidak puas hati pembahagian pusaka peninggalan arwah bapa mereka yang meninggal dunia tiga bulan lalu.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata.