KUALA TERENGGANU - Seorang mekanik dihadapkan di dua mahkamah sesyen berasingan di sini, semalam, atas lima pertuduhan merogol dua anak tirinya yang merupakan OKU kategori lembam, bermula empat tahun lalu iaitu pada 2011.

Bagaimanapun, tertuduh, 41, mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azhar Othman dan Murtazadi Amran, dan mohon dibicarakan atas kelima-lima pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa merogol mangsa pertama yang juga anak sulung daripada tiga beradik di dalam bilik tidur rumah di Kampung Raja, Besut, kira-kira jam 9 malam hingga 12 tengah malam, pada 9 Disember 2011.

Tertuduh didakwa mengulangi perbuatan terkutuk itu terhadap mangsa pada 9 Mac lalu, jam 10 pagi di lokasi sama.

Tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan itu terhadap anak keduanya, yang ketika itu baru berusia 9 tahun 5 bulan, bermula 4 Oktober 2012, di antara jam 9 malam sehingga 12 tengah malam, di sebuah bilik tidur di Kampung Raja, Besut.

Dia didakwa mengulangi perbuatan itu pada 11 April 2014, di antara jam 12.30 tengah malam di Kampung Air Tawar, Kampung Raja, Besut dan juga didakwa mengulanginya untuk kali ketiga pada hujung bulan Disember tahun sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak lebih 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.

Mahkamah menetapkan 27 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan peguam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zulfazliah Mahmud dan Siti Nur Hafizah Mohd Sokran.

Sinar Harian keluaran 13 Mac lalu menyiarkan laporan seorang mekanik yang tergamak menjadikan dua anak tirinya yang juga OKU lembam sebagai tempat memuaskan nafsu serakah.

Perbuatan suspek, 41, terbongkar apabila kedua beradik malang berusia 14 tahun dan 12 tahun itu ponteng sekolah untuk melarikan diri, sebelum diselamatkan oleh seorang wanita.