BANDAR BARU BUKIT MENTOK - Tiga suri rumah kini mampu tersenyum lebar apabila perit jerih menjual kuih secara kecil-kecilan sejak beberapa tahun lalu menjadi titik tolak kejayaan mereka sekarang sehingga mampu membuka premis perniagaan sendiri dengan bantuan Empower Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) Kemaman.

Ketiga-tiga mereka, Khatijah Aini Mohamed, 41; Sazana Shafie, 41, dan Rozita Mohamad, 42, kini memiliki kedai menjual kuih muih termasuk sejuk beku yang disewa di Puteri Food Courts, di sini.

Khatijah Aini yang juga ibu kepada tujuh anak berkata, dua kursus dikendalikan Empower ECER Kemaman disertainya banyak membantunya mempelbagaikan jenis kuih yang dijualnya.

"Saya ikut Kursus Pembuatan Kek dan Pasteri pada 2011. Pada 2013 saya sambung kursus dalam bidang Pembuatan Kuih Muih Ala Malaysia pula.

"Sekarang saya buat 18 jenis kuih untuk dijual antaranya ropa ikan, sardin roll, kuih boom bijan dan donut,” katanya.

Menurutnya, permintaan daripada pelanggan yang sangat tinggi menyebabkannya berusaha untuk mendapatkan premis untuk memudahkan memproses produk seterusnya membolehkannya mengupah tenaga kerja lebih daripada seorang.

“Saya jual kuih dah 10 tahun, lepas manfaat ilmu yang diperoleh dari kursus Empower ECER Kemaman, saya dapat kembangkan lagi bisnes.

“Malah, lepas habis kursus pun Empower ECER Kemaman bantu lagi peserta hingga saya dapat buka premis sendiri ini," katanya.

Tambahnya, sememangnya pendapatan yang diperoleh dahulu berbeza dengan sekarang.

"Untuk kembangkan lagi bisnes, saya dalam proses untuk dapatkan sijil halal bagi memasarkan kuih ke pasar raya pula," katanya yang menggunakan jenama Khaty Aini bagi produk kuih keluarannya.

Sazana yang mengikuti Kursus Pemakanan Sejuk Beku di Empower ECER Kemaman pada 2013 pula mengakui penyertaannya dalam kursus itu membuka matanya untuk lebih serius dalam bidang keusahawanan.

Menurutnya, faedah dari kursus itu juga mengajarnya untuk mengkomersialkan lagi kuih muih yang dijualnya menerusi kaedah sejuk beku.

“Pasaran produk sejuk beku ini luas dan tak rugi. Tak bazir pun sebab orang ramai boleh makan bila-bila masa saja.

"Cuma sekarang saya hadapi saingan sebab produk sejuk beku dah banyak. Tapi ini bukan masalah besar pun, yang penting kualiti kena jaga," katanya.

Kata ibu tiga anak itu, dengan adanya premis perniagaan sendiri, dia dapat memenuhi permintaan pelanggan yang kian bertambah.

“Saya juga akan buka cawangan di satu lagi premis di Stesen Bas Chukai, juga dengan bantuan Empower ECER,” katanya.

Sementara itu, Rozita berkata, premis perniagaannya akan dijadikan sebagai tempat memproses tempahan produk kuih muihnya selain akan dijadikan bengkel untuk mengadakan kelas masakan bagi sesiapa yang berminat untuk mempelajari pelbagai menu baharu.

“Saya berniaga dari rumah dah 18 tahun dan saya tergerak hati ambil kursus Pemakanan Sejuk Beku di bawah Empower ECER pada 2013.

“Kursus ini banyak bantu saya untuk inovasikan lagi produk di samping dapat kenal ramai orang seterusnya menjadikan pasaran produk saya lebih luas,” katanya.

Katanya, setakat ini kuih sejuk beku keluarannya dipasarkan di kedai runcit sekitar Kemaman dan Kuantan.

“Bila dah ada premis sendiri, saya nak pasarkan kuih sejuk beku ke lebih banyak kedai runcit terutama bagi kedai-kedai baru dibuka. Saya juga mahu tembusi pasaran di pasar raya. Sekarang produk saya dalam proses untuk dapatkan persijilan halal,” katanya.

Kesemua kursus kemahiran yang disertai ketiga-tiga suri rumah itu adalah Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang ditawarkan secara percuma Empower ECER Kemaman bertujuan meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah.

Program Empower ECER Kemaman dikendalikan Majlis Pembangunan ECER (ECERDC) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Perasmian ketiga-tiga premis disempurnakan Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Seorang suri empat anak rumah hilang punca pendapatan apabila suaminya, Redzuan Suleiman, 39, koma setelah terlibat dalam satu kemalangan langgar lari pada Mei lalu di Batu Pahat ketika pulang dari kerja.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.