KUALA TERENGGANU - Seramai 25,000 murid Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) Terengganu diraikan pada majlis khatam Al-Quran yang diadakan secara serentak di seluruh negeri itu, hari ini.
 
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Inovasi dan Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata, jumlah itu tinggi berbanding keseluruhan sebanyak 70,000 murid Kafa di seluruh Terengganu, setakat ini.
    
"Hasrat kita agar jumlah ini meningkat saban tahun dan usaha melahirkan murid celik al-Quran ini adalah tanggungjawab bersama antara ibu bapa dan guru.
    
"Walaupun bukan perkara mudah, saya yakin matlamat agar semua murid berjaya khatam al-Quran sebelum masuk ke Tingkatan Satu akan tercapai tidak lama lagi," katanya ketika merasmikan majlis khatam al-Quran di Stadium Tertutup Gong Badak di sini.
    
Majlis khatam al-Quran perdana itu mula diadakan sejak 2008 dan setiap tahun, jumlah murid Kafa yang berjaya khatam al-Quran meningkat antara 500 dan
800 orang.
    
Ghazali berkata, kerajaan negeri mahu Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) supaya terus memaksimumkan penggunaan E-Book kepada murid Kafa kerana pembelajaran secara interaktif itu lebih menarik minat murid. - Bernama