KUALA TERENGGANU - Bapa kepada tujuh anak melahirkan rasa syukur selepas menerima bantuan rumah kediaman menerusi projek pembinaan semula rumah terbakar di bawah Program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS 7).

Razali Endot, 55, berkata, walaupun rumah yang bakal didiami itu tidak mampu memadamkan sejarah rumah pusaka yang didiaminya sejak 53 tahun lalu, dia bersyukur dan menyifatkan ia adalah dengan hadiah teristimewa dari kerajaan.

“Alhamdulillah bersyukur terima rumah pemberian kerajaan ini walaupun ingatan kepada rumah pusaka yang telah terbakar pada 7 Mei lalu tidak pernah padam.

“Insya-ALLAH, rumah ini akan menempatkan saya bersama 12 lagi ahli keluarga termasuk tujuh anak, seorang menantu dan seorang cucu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Rumah Projek Pembinaan Semula Rumah Terbakar di bawah program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Kementerian Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan di Chendering, di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Amer Yusof; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee.

Sementara itu, Mohd Jidin berkata, projek itu adalah projek kedua yang berjaya disiapkan tahun ini menjadikan sebanyak 16 rumah yang telah disiapkan sejak ia diperkenalkan pada 2012.

“Rumah ini dibina di tapak tanah milik bapa penerima dan ia dibina dalam masa tiga bulan bermula 8 Ogos hingga 29 Oktober lalu dan ia berjaya disiapkan lebih awal daripada tempoh masa yang ditetapkan itu.

“Anggaran kasar kos pembinaannya sebanyak RM40,000 dengan sumber kewangan daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan,” katanya.

Mengulas mengenai keanggotaan yang terlibat dalam menyiapkan kediaman itu, seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu dan Kuala Berang.

“Selain itu ia juga dibantu oleh dua pelajar Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :