KUALA LUMPUR -- Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini menyampaikan bantuan zakat fasa pertama sebanyak RM664,200 kepada 2,214 keluarga yang terlibat dengan bencana banjir di Ampang dan Hulu Langat awal bulan ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohamed Izam Mohamed Yusof berkata sumbangan itu merupakan bantuan wang zakat khusus bagi meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa banjir di sekitar Selangor.

"LZS memperuntukkan wang zakat sebanyak RM800,000 untuk diagihkan kepada keluarga yang terlibat dengan banjir dan setiap keluarga yang layak akan mendapat bantuan zakat sebanyak RM300," katanya pada majlis Penyampaian Bantuan Zakat kepada mangsa banjir di Dewan Serba Guna Taman Sri Nanding, Hulu Langat dekat sini hari ini.

Pada majlis itu, LZS menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM275,100 kepada 917 keluarga dari kawasan Taman Sri Nanding dan Kampung Dusun Nanding. 

Mohamed Izam berkata fasa pertama bantuan zakat itu meliputi tujuh kawasan bencana dan lima daripadanya adalah di sekitar daerah Hulu Langat dan selebihnya di Ampang dan Lembah Jaya.

"Ini merupakan penyampaian terakhir bantuan zakat bagi fasa pertama sebelum LZS akan memulakan fasa kedua khusus untuk mereka (mangsa) yang namanya tercicir dalam menerima bantuan zakat.

"Jumlah mangsa yang tercicir ini bukan disebabkan maklumat yang tidak lengkap dari LZS tetapi atas faktor mangsa banjir yang layak menerima bantuan tetapi lewat menghantar nama mereka kepada ketua kampung atau LZS...saya
jangkakan kurang daripada dua peratus mangsa banjir yang terlibat dengan kes keciciran nama," katanya lagi.

Beliau berkata bagi penerima bantuan zakat yang nama mereka tercicir, mereka perlu mendaftarkan diri kepada ketua kampung atau wakil penduduk agar layak mendapat bantuan ketika fasa kedua penyampaian zakat yang akan diadakan selepas selesai tempoh pendaftaran nama penerima. -- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.