KUALA LUMPUR - Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Tun Razak turut digerakkan Umno Bahagian Setiawangsa  bagi meringankan beban membantu bekas Perdana Menteri itu yang kini sedang berhadapan dengan dakwaan berhubung pemindahan RM42 juta ke dalam akaun peribadinya daripada SRC International Sdn. Bhd.

Ketua Wanita Umno bahagian Setiawangsa, Seriwani Sabtu berkata, inisiatif itu disifatkan  sudah menjadi tanggungjawab untuk setiap ahli Umno membantu sesama sendiri agar permuafakatan yang utuh dapat terus dipelihara bagi memastikan parti itu terus relevan.

Menurutnya, usaha untuk mengumpul dana itu juga sebagai menghargai jasa Perdana Menteri keenam itu memimpin negara dan Umno khususnya.

"Ini bagi membantu dalam proses ikat jamin, dengan tindakan pembekuan akaun, l laksanakan ini sebagai bukti kepada pemimpin, yang kami masih bersama beliau dan sedaya upaya membantu walau dalam apa juga keadaan.

"Wanita Umno juga sarankan agar sumbangan dapat diberikan dari setiap bahagian,"katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Aidilfitri Umno Bahagian Setiawangsa di Hotel Flamingo di sini.

Majlis itu disempurnakan oleh Ketua Umno Bahagian Setiawangsa yang baharu, Datuk Seri Izudin Ishak yang mengisi kekosongan ditinggalkan penyandang sebelumnya, Tan Sri Zulhasnan Rafique.

Seriwani menambah, kutipan sumbangan berkenaan dijangka diserahkan pada Ahad kerana tempoh diberikan mahkamah adalah sehingga jam 3 petang Isnin.

"Kami tidak letakan sebarang sasaran kerana ini adalah sumbangan ikhlas daripada ahli Umno sendiri tanpa melibatkan pihak luar,"katanya.