CALON Bebas Dun Rawang nekad meneruskan perjuangan bersendirian sebagai tanda protes dan kecewa dengan keputusan parti PKR yang membelakangkan suara akar umbi dalam pemilihan calon bagi kerusi tersebut.

Azman Mohd Noor, 55 berkata, beliau tidak berpuas hati dengan pencalonan Chua Wei Kiat menggantikan penyandang dua penggal, Gan Pei Nei kerana tidak mengikut saluran cabang.

Azman yang juga bekas Setiausaha Politik Pei Nei itu berkata, keputusan menjadi calon Bebas dibuat selepas bantahan mengikut saluran parti tidak mencapai keputusan yang adil.

“Saya nekad jadi calon parti pada malam sebelum penamaan calon dan meletak semua jawatan dalam PKR serta merta kerana hilang keyakinan dalam kepimpinan PKR Cabang Selayang.

“Keputusan saya tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak sama ada dari Pei Nei yang digugurkan namanya atas tuduhan penyalahgunaan peruntukan mahupun oleh BN,” katanya.

Menurutnya, beliau berharap tindakannya berkorban dengan menjadi calon Bebas membuka mata kepimpinan parti dan mengamalkan konsep telus dan adil seperti yang diperjuangkan dalam PKR.

“Saya adalah seorang reformis yang berjuang di Rawang sejak 1998 dan berperanan mengangkat PKR menang di Selayang khususnya bagi Dun Rawang walaupun ketika itu calonnya adalah orang luar bukan anak tempatan.

“Saya beranggapan kepimpinan PKR Cabang Selayang tidak adil dan amanah apabila calon yang diangkat bukan daripada nama yang dicadangkan sehingga calon baharu itu turut mendapat bantahan penduduk setempat,” katanya.

Katanya, beliau yakin mampu menang kerusi Dun Rawang pada PRU14 dengan sokongan undi Melayu dan penyokong PKR yang memprotes Pei Nei digugurkan sebagai calon.

“Manifesto saya mesra rakyat menyokong program pembangunan, ekonomi, kerohanian dan kebajikan rakyat; meneruskan usaha penjagaan infrastruktur di Rawang teratur serta bersistem; naik taraf tempat ibadah serta kempen gaya hidup sihat.

“Membantu penstrukturan peniaga kecil, tuisyen percuma, kempen kebersihan, kitar semula dan naik taraf pusat kesihatan sedia ada,” katanya.

Pei Nei dalam satu kenyataan kelmarin tidak menyokong pencalonan tersebut dan menyeru Azman untuk tarik diri daripada bertanding untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh.