KLANG - Tempoh seminggu diberikan terhadap Kerajaan Negeri khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda, Shuhaimi Shafiei untuk menyelesaikan masalah perkhidmatan bas henti yang ditutup operasi hingga menyusahkan penduduk.
Sekiranya isu itu masih gagal ditangani, penyerahan memorandum dan satu bantahan aman melibatkan penduduk Jalan Kebun serta kawasan sekitarnya akan diadakan di perkarangan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).
Wakil penduduk, Buang Abdul Basir, 57, berkata, permasalahan itu sudah berlarutan hampir sebulan hingga memberi kesan kepada kira-kira 1,000 penduduk setempat yang menggunakan perkhidmatan bas tersebut.
“Hingga kini tiada respons positif atau keprihatinan Kerajaan Negeri serta Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang sepatutnya peka dan mencari jalan bagi menyelesaikan permasalahan ini.
“Bayangkan penduduk terpaksa mengeluarkan kos tinggi iaitu kira-kira RM35 untuk perkhidmatan kereta sewa dari Klang ke Jalan Kebun berbanding bayaran bas hanya RM3,” katanya.
Beliau berkata, pada masa ini penduduk boleh lagi bertahan memandangkan cuti persekolahan masih belum bermula.
“Mereka perlulah prihatin dengan permasalahan ini dan bukannya hanya sekadar pandai bercakap kerana yang menjadi mangsa kini adalah penduduk.
“Kita tidak mahu kejadian buruk berlaku disebabkan isu ini gagal ditangani.
“Kita harap perhimpunan aman ini akan membuka mata pihak bertanggungjawab untuk segera mengatasi masalah ini demi kebaikan bersama,” katanya selepas mengadakan perhimpunan aman terhadap perkhidmatan bas yang dihentikan di Simpang Empat, Lorong Abdullah Jalan Kebun Klang, semalam.
Sementara itu, Shaari Basri, 53, yang mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Waris Malaya berkata, tempoh seminggu diberikan untuk menyelesaikan isu tersebut.
“Penduduk sepakat untuk memberi masa dan ruang kepada pihak bertanggungjawab mencari jalan penyelesaian demi kebaikan bersama.
“Usaha ini akan kita lakukan berterusan sehingga jalan penyelesaian yang memberikan keselesaan dan keselamatan kepada penduduk setempat dicapai,” katanya.




