KUALA LUMPUR - Hujan lebat melanda ibu negara petang semalam mengakibatkan berlaku runtuhan dan mendapan tanah di lorong kiri laluan di Lebuhraya Sultan Iskandar (Lebuhraya Mahameru) dari arah Parlimen menghala ke Muzium Negara.

Kejadian berkenaan dikatakan mula dikesan sejak jam 4 petang namun laluan masih dibuka kepada kenderaan membuatkan keadaan bertambah teruk.

Sumber berkata, kejadian itu berlaku berikutan projek pembinaan terowong di Jalan Duta yang sedang giat dijalankan bawah pemantauan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Apabila keadaan mendapan di jalan berkenaan dilihat semakin besar, laluan telah ditutup kepada kenderaan.

“Pemantauan berterusan dilakukan pihak DBKL,” katanya.

Sementara itu, 16 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sentul dan Hartamas turut digegaskan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 6.30 petang.

Perbincangan dibuat dengan DBKL dan pihak Polis untuk menutup laluan berkenaan kerana boleh membahayakan pengguna.

Difahamkan laluan dari arah Jalan Tun Razak mula ditutup pada jam 7.10 malam, dan dilencongkan ke Jalan Parlimen.