PUTRAJAYA - Sejumlah RM6.5 juta berjaya dikumpul untuk program Baiti Jannati@ Wilayah Persekutuan setakat ini bagi membantu membaik pulih dan menyelesaikan baki pinjaman perumahan penghuni miskin tegar di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata sebanyak 300 keluarga di kawasan perumahan berkenaan akan dapat dibantu melalui kutipan dana program berkenaan, yang merupakan inisiatif Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan,  sehingga akhir tahun ini.

“Dana yang disumbangkan oleh syarikat-syarikat ini akan digunakan bagi membaiki rumah-rumah usang milik mereka, dan menyelesaikan baki pinjaman perumahan mereka,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan RM1 juta oleh Mah Sing Foundation kepada program Baiti Jannati@ Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Setakat ini, katanya, 28 keluarga telah dibantu pada bulan Ramadan lepas dan sebanyak 53 keluarga India yang akan menyambut Deepavali minggu depan juga akan dibantu  manakala usaha membantu yang lain akan dilaksanakan sehingga hujung tahun ini.

"Kita harap lebih banyak syarikat akan tampil untuk bekerjasama dengan pihak kementerian menerusi program ini  yang dapat memberi kehidupan yang lebih selesa kepada golongan yang memerlukan,” katanya. - Bernama