KLANG - Upacara pemasangan Plak Warisan Kebangsaan Masjid Diraja Sultan Suleiman diadakan di sini semalam bersempena dengan pengisytiharan bangunan bersejarah itu sebagai Warisan Kebangsaan Negara baru-baru ini.
   
Upacara itu disempurnakan oleh Orang Kaya Maha Bijaya Klang (Orang Besar nDaerah Klang), Datuk Setia Diraja Abdul Ghani Pateh Akhir yang sebelum itu menerima plak berkenaan daripada Tengku Aris Temenggongn Selangor Tengku Muhamad Yusof Shah.
   
Turut hadir Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah dan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara Datin Paduka Prof Emeritus Zuraina Majid.
   
Pada 10 Mei lepas, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim mengisytiharkan Masjid Diraja Sultan Suleiman dan 15 bangunan di bawah warisan seni bina sebagai Warisan Kebangsaan Negara.
   
Masjid itu merupakan Warisan Kebangsaan kedua di daerah ini yang mendapat pengiktirafan selepas Bangunan Sultan Suleiman yang menempatkan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.
  
Justifikasi Masjid Sultan Suleiman sebagai warisan kebangsaan ialah bangunan itu merupakan masjid pertama dibina di Selangor pada 11 September 1932 sempena ulang tahun keputeraan ke-69 Sultan Selangor kelima, Sultan Sir Ala'eddin Suleiman Shah dan terindah di dalam negeri Melayu Bersekutu.
   
Bangunan itu mempunyai ciri-ciri reka bentuk tipologi unik gaya rupa Art Deco dan imbasan Georgian dan Gothic moden serta agak berlainan daripada masjid lain di Malaysia kerana reka bentuk asalnya seperti palang yang selalu diguna pakai dalam pembinaan gereja.
   
Masjid yang boleh menampung kira-kira 1,000 jemaah pada satu-satu masa ini telah melalui beberapa pengubahsuaian bermula pada tahun 1950.
   
Bagaimanapun, unsur-unsur lama seperti cermin berwarna-warni yang terdapat di bahagian atas kubah masjid dan mimbar yang diperbuat daripada kayu cengal masih kekal sehingga kini.
   
Walaupun Masjid Sultan Suleiman sudah berusia lebih separuh abad, struktur bangunan itu masih kukuh dan teguh.
   
Di pekarangan Masjid Sultan Suleiman turut menempatkan Makam Diraja Klang yang tersemadi makam Almarhum Sultan Ala'eddin Suleiman Shah, Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj, Sultan Ghiatuddin Riayat Shah dan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj serta makam Almarhumah Tengku Ampuan-Tengku Ampuan dan kerabat Diraja Selangor. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KLANG - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan RM4.6 juta untuk membaik pulih infrastruktur serta pembinaan prasarana di dua pangsapuri dan sebuah kawasan perumahan setinggan di daerah ini.
  • KLANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun antara 29 orang pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan dalam operasi bersepadu di sekitar perumahan flat Bandar Bukit Tinggi di sini, awal pagi tadi.
  • KLANG - Pemuda Pakatan Harapan (Harapan) Klang mempersoalkan penyelesaian 'ajaib' dalam skandal kehilangan tanah milik Felda di Jalan Semarak yang melibatkan sejumlah 16 geran tanah bernilai RM270 juta, baru-baru ini.
  • KLANG - Wartawan Sinar Harian, merupakan antara empat penerima sijil penghargaan media dari Angkatan Pertahanan Awam (APM) sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Siri 1/2018 dan Penyampaian sijil penghargaan kepada 70 anggota pegawai dan anggotanya yang terlibat dalam operasi Baby Shark di Bagan Lalang dan Operasi Gunung Nuang.
  • KLANG - [VIDEO] Tindakan seorang lelaki melakukan samun dengan mensasarkan stesen minyak yang sama sebanyak tiga kali akhirnya membawa padah apabila dia ditahan polis, petang semalam.