• Kucing di Omiey Home diberi makan mengikut masa yang ditetapkan. Kucing di Omiey Home diberi makan mengikut masa yang ditetapkan.
1 /

TANJONG KARANG - Pusat Jagaan Kucing Omiey Home mengambil inisiatif mewujudkan program 'Omiey One Step Ahead' mulai bulan ini bagi menyelamatkan kucing terbiar sekali gus meneruskan usaha dilakukannya sejak empat tahun lalu.

Pemilik Pusat Jagaan Kucing Omiey Home, Melissa Ridz, 37, berkata, program dijalankan menerusi laman sosial Facebook dan sukarelawan bagi membantu mengutip kucing terbiar untuk ditempatkan di pusat jagaan berkenaan.

Menurutnya,lebih 400 kucing dijaga dengan baik hasil sumbangan orang ramai terutama sukarelawan yang menderma RM10 setiap bulan secara konsisten demi membantu operasi pusat jagaan ini.

"Kebanyakan kuncing yang diterima adalah serahan orang ramai dan ada juga yang dikutip di jalanan serta diselamatkan dari pusat pelupusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Kebanyakan kucing yang dibela perlu mendapatkan rawatan seperti suntikan vaksin, selesema dan kurap bagi mengelakkan penyakit berjangkit dengan bayaran RM30 jika mendapatkan khidmat itu di klinik haiwan swasta," katanya.

Difahamkan, pusat jagaan kucing berkenaan sebelum ini beroperasi di Kampung Melayu Kepung sebelum ditempatkan sementara di Pusat Veterinar Tanjong Karang berikutan jumlahnya semakin meningkat dengan kelulusan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Dengan pusat jagaan baru yang lebih luas dan jauh dari penempatan penduduk membuatkan kerja memelihara haiwan ini lebih mudah selain menyediakan ruang pada orang ramai menempatkan kucing mereka untuk dijaga dengan kadar berpatutan.

Menurutnya, dana yang ada untuk operasi pusat jagaan berkenaan ada kalanya terhad dan bergantung sepenuhnya bayaran serahan pemilik kucing RM50 seekor selain sumbangan ikhlas orang ramai melalui akaun bank.

“Kami berharap sumbangan orang ramai, badan korporat atau agensi kerajaan yang boleh membantu operasi pusat jagaan kucing ini memandangkan tidak mempunyai sumber kewangan khas," katanya.

Dalam pada itu, Pusat Jagaan Kucing Omiey Home turut menyediakan lokasi khas di Uptown Danau Kota untuk membolehkan orang ramai yang berminat mengambil kucing sebagai haiwan peliharaan secara percuma dan menggalakkan mereka menghulurkan sumbangan ikhlas.