SHAH ALAM - Hampir 50 pembeli rumah kos rendah di PJS1, Petaling Jaya mengadakan demonstrasi di depan pintu utama Bangunan SUK menuntut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunaikan janji yang didakwa dibuat berhubung isu perumahan terbengkalai sejak lapan tahun lalu.

Bagaimanapun, desakan untuk menghantar memorandum kepada Menteri Besar kira-kira jam 11 pagi semalam gagal, apabila hanya Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad tampil bertemu pembeli.

Daripada hampir 50 pembeli yang menunggu sejak 9.30 pagi, hanya empat orang dibenarkan mewakili pembeli bertemu Menteri Besar untuk mendapatkan penjelasan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Blok E PJS 1, Sugumaran Muniandy berkata, masalah itu dihadapi pembeli sejak lapan tahun lalu kerana pemaju dikatakan masih gagal membinanya.

Menurutnya, 276 pembeli telah membuat bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus iaitu antara RM3,500 dan RM4,200.

“Menteri Besar berjanji untuk menyelesaikan masalah ini dalam tempoh empat hari, tetapi sekarang sudah masuk lima bulan ia masih belum dapat diselesaikan.

“Sudah tiga kali surat dihantar kepadanya iaitu pada 13 Jun, 19 Ogos dan 26 September, manakala yang terbaru pada 8 November lalu,” katanya ketika ditemui di pintu utama Bangunan SUK, di sini, semalam.

Sugumaran berkata, jawatankuasa pembeli sudah beberapa kali berjumpa Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bagi membincangkan masalah itu.

Katanya, kegagalan pemaju membina projek perumahan menyebabkan ada kalangan pembeli menyewa di sekitar PJS 1, Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur dan menetap di rumah transit MBPJ.

“Hari ini kami mahu mendapatkan penjelasan berhubung perkara ini daripada Menteri Besar sendiri, kami sanggup menantinya kerana sebelum ini telah lapan tahun menunggu dengan harapan mendapat pembelaan sewajarnya,” katanya.

Selepas menanti hampir empat jam, akhirnya mereka dapat menyerahkan memorandum berkenaan kepada Abdul Khalid.

Abdul Khalid berkata, beliau akan memberikan penjelasan berhubung isu itu dalam tempoh seminggu.

“Kita akan adakan perbincangan dengan pembeli, pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.