SHAH ALAM -  Kemenangan Pakatan Harapan (PH) di Seri Setia kelmarin, bukan sesuatu yang luar biasa kerana ramai sudah menjangkakan ia akan terus kekal menjadi milik PH ekoran ia merupakan kubu kuat parti gabungan itu sejak tiga penggal lalu.

Kelebihan calonnya, Halimey Abu Bakar yang bukan saja anak tempatan, malah sebagai bekas Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tidak dinafikan banyak membantu kemenangan pada kali ini.

Namun di sebalik kegembiraan PH mengekalkan kemenangan di kubu kuat mereka itu, berlaku kemerosotan dari segi bilangan undi diraih pada PRK kali ini berbanding PRU14 lalu iaitu daripada 29,250 undi kepada 13,725 undi.

Sementara itu, kekalahan calon Pas, Dr Halimah Ali pada PRK ini pula tidak dilihat sebagai perjuangan yang sia-sia, sebaliknya kekalahan parti Islam itu menunjukkan perkembangan positif apabila pelbagai pencapaian berjaya dicipta dalam keadaan serba kekurangan termasuk dari segi jentera dan dana.

Antara kejayaan lain Pas adalah dapat meningkatkan jumlah undi pada PRK kali ini sebanyak 9,689 undi berbanding 4,563 undi sahaja pada PRU14 lalu, malah turut menang menerusi undi pos, undi awal daripada polis dan tentera, peningkatan ketara undi daripada golongan muda di sebahagian saluran di Seri Setia serta peningkatan sokongan undi kira-kira 30 peratus dari kaum India serta 10 kali ganda sokongan undi dari kaum Cina.

Dalam pada itu, kadar peratusan keluar mengundi di PRK Seri Setia turut direkodkan antara yang terburuk kerana mencatatkan kadar lebih rendah berbanding PRK Sungai Kandis sebanyak 44.1 peratus dan ia turut dikaitkan dengan faktor cuti panjang, cuaca tidak menentu, tempoh PRU14 yang baru dilaksanakan beberapa bulan lalu selain keengganan ahli Pas dan Umno untuk keluar mengundi kerana dikatakan tidak suka dengan kerjasama yang terjalin antara kedua-dua parti.

Secara keseluruhannya, walaupun menang, PH tampaknya belum boleh menarik nafas lega serta berpuas hati kerana pencapaian dicipta Pas menerusi kekalahan mereka seolah-olah isyarat dari rakyat buat PH untuk lebih berhati-hati dalam setiap tindakan mereka selepas ini, malah kemerosotan peratusan keluar mengundi juga tidak boleh diabaikan dan perlu diteliti dengan lebih mendalam.

Kalah tapi banyak peningkatan

Berdasarkan analisa Pas, Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir menyifatkan peningkatan besar sokongan terhadap Pas pada PRK Seri Setia dipengaruhi kerjasama antara Pas dan Umno, selain isyarat dari rakyat yang mula menolak PH.

"PH menang tapi jumlah undi semakin mengecil dan kita yakin ia isyarat penolakan dari rakyat dan akan semakin ketara menjelang PRU15 nanti.

"Ahli dan penyokong Pas serta Umno mempamerkan kerjasama yang baik dan memandangkan hubungan ini masih baru, jika ia terus dipupuk dan dipertingkatkan tidak mustahil dapat menerbitkan hasil yang lebih kukuh pada masa depan," katanya.

Perlu kajian lebih mendalam

Walaupun Pas dilihat begitu positif dengan kekalahan mereka di Seri Setia dan menganggapnya sebagai kalah dalam menang, Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang juga pemerhati politik, Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berpandangan analisa Pas itu perlu dilihat dengan lebih terperinci.

Beliau berkata, analisis dibuat parti Islam itu mungkin benar atau sebaliknya dan faktor jumlah pengundi juga boleh menjadi alasan untuk menolak analisis tersebut.

"Sama ada benar undi untuk Pas telah naik dan undi untuk PH berkurangan, ia perlukan analisis mendalam dan perlu dikaji dengan membandingkan pada PRU14 dari aspek jumlah pengundi yang keluar mengundi serta peratusan undi Melayu yang menyokong PH dan Pas pada masa itu.

"Maknanya tidak boleh dibuat analisis simplistik atas dasar angka sekarang saja. Kita juga perlu peka kerjasama Pas-Umno ini adalah kerjasama kali kedua dalam PRK dan kita perlu melihat masa depan khususnya PRK-PRK akan datang sama ada momentum kerjasama ini akan berterusan atau tidak," katanya.

Wujud trend sama, krisis keyakinan

Berbeza dengan pandangan seorang lagi penganalisis politik yang melihat kekalahan Pas di Seri Setia ini serta kesukaran blok pembangkang menggugat sokongan pengundi terhadap PH sebagai trend yang sama seperti yang berlaku pada PRK Sungai Kandis.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia, Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, beliau melihat seolah-olah wujud krisis keyakinan dan kepercayaan ke atas kerjasama Pas-Umno sehingga gagal menarik sok sendiri.

Beliau berkata, hakikatnya, kerjasama ini tidak boleh berlaku dengan segera walaupun pemimpin atasan boleh duduk sepentas tetapi di peringkat bawahan ujikaji Kedua ini gagal diterjemah dalam bentuk sokongan.

"Penyokong perlu diyakinkan yang kerjasama ini bukan sekadar kerjasama pilihan raya tetapi kerjasama berteraskan perjuangan yang sama.

"Ini masih belum berlaku, maka ini boleh disifatkan sebagai protes senyap dalam kalangan kedua-dua ahli parti dan tidak memberi keutamaan untuk keluar mengundi seperti kelaziman dalam mana-mana PRK sebelum 2018," katanya melihat faktor mungkin ahli kedua parti tidak restu.