KUALA LUMPUR - Penganjuran Kejohanan Futsal Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama media sempena berlangsungnya Piala Dunia 2018 merupakan antara platform terbaik dalam mengukuhkan hubungan bersama pengamal media.

Program yang berlangsung di gelanggang futsal TNB, Bangsar, di sini, semalam dirasmikan Ketua Pegawai Korporat TNB, Datuk Roslan Ab Rahman.

Roslan berkata, seramai 16 pasukan berentap mempamerkan kehebatan berpasukan bagi merangkul kejuaraan.

Katanya, kejohanan ini adalah simbolik kemeriahan Piala Dunia 2018 yang sedang berlangsung di Rusia.

“Penganjuran kejohanan futsal bersama media berskala besar seperti ini dianjurkan dua tahun sekali mengikut kejohanan Piala Dunia dan Euro. Dimulakan pada tahun 2012 sempena Euro, diikuti dua tahun berikutnya sempena Piala Dunia 2014 dan Euro 2016.

“Tujuan penganjuran seperti ini adalah sebagi medium kerjasama TNB bersama pengamal media, memperkukuhkan hubungan yang terjalin sejak sekian lama, mempromosikan aktiviti riadah sebagai aktiviti menyihatkan badan, sokongan TNB terhadap aktiviti sukan seperti hoki dan penajaan Sukan SEA 2017 dan lain-lain,” katanya.

Turut hadir Pengurus Besar Kanan (Hal Ehwal Korporat) TNB,  Datuk Ir Mohd Aminuddin Mohd Amin merangkap YDP Kelab Kilat Kuala Lumpur dan Ketua (Newsroom) TNB, Mohd Arshi Mat Daud.

Dalam kejohanan itu, setiap pasukan diberikan jersi negara-negara bertanding di Piala Dunia yang akan digunakan sepanjang perlawanan.

Pasukan yang terlibat adalah Sinar Harian yang menyarung jersi Belgium, Persatuan Jurufoto Media Malaysia (Uruguay), Harian Metro (Mesir), Astro Awani (Jerman), New Straits Times (England), Kosmo (Colombia), Malaysia Gazette (Poland), Bernama (Rusia), Bernama TV (Mexico), Utusan (Sepanyol), TV3 (Croatia).

Selain itu, The Sun pula menyarung jersi Argentina, Berita Harian (Jepun), Astro Arena (Brazil), RTM (Nigeria) dan tuan rumah, TNB (Perancis).

Selain itu, TNB setiap tahun juga telah menganjurkan pelbagai aktiviti ‘networking’ sukan seperti bowling, bola sepak, futsal dan lain-lain lagi bersama pengamal media.