SHAH ALAM - Penduduk di kawasan perumahan Jalan Plumbum 101 dan 103 Seksyen 7 menggesa agar pelan laluan projek pembinaan LRT3 bagi jajaran GS06 dikaji semula memandangkan laluan berkenaan akan merentasi sebahagian kawasan perumahan berkenaan.

Yang Di Pertua Persatuan Penduduk Jalan Plumbum 101 dan 103, Prof Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, melalui satu sesi taklimat oleh pihak Prasarana Malaysia Berhad bersama MRCB George Kent Sdn Bhd dan Rahimcon Sdn Bhd pada 10 Februari lalu, penduduk difahamkan laluan Jajaran LRT3 GS06 akan mengambil sebahagian besar kawasan padang permainan mereka bagi membina tiang bagi laluan LRT.

Menurutnya, penduduk menggesa pelan laluan itu diperhalusi dan dikaji semula memandangkan jarak antara laluan yang akan dibina terlalu hampir dengan perumahan di kawasan itu.

"Kami difahamkan pelan pembinaan jajaran GS06 yang telah diluluskan itu melibatkan laluan Stesen UiTM Shah Alam ke Stesen I-City Shah Alam melalui Persiaran Permai kemudiannya membelok masuk ke Lebuh Keluli. Jadi sebelum ke Stesen Bukit Raja, akan melalui kawan perumahan kami di Jalan Plumbum khususnya padang permainan di hujung Jalan Plumbum 101E.

"Jadi kita mohon ia dikaji dan diatur semula pelan laluan LRT3 GS06 agar tidak mengambil kawasan padang permainan memandangkan jarak yang terlalu hampir sekitar 20 meter antara laluan rel dan rumah terdekat, apatah lagi disini ialah kawasan perumahan berpagar dan berkawal.

"Malah, apa yang dikesalkan adalah pihak penduduk tidak pernah dipanggil secara rasmi untuk sesi pendengaran awam berhubung pelan pembinaan dan hanya dipanggil untuk sesi taklimat selepas pelan pembinaan diluluskan. Perlu ambil kira impak dan kesannya kepada hampir 1000 penduduk di kawasan ini," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar, semalam.

Padang permainan di kawasan perumahan penduduk akan terlibat bagi pembinaan laluan itu.

Katanya, penduduk juga diberitahu bahawa kerja-kerja pembinaan LRT3 GS06 itu akan bermula pada dalam masa terdekat.

Lokman Hakim turut menjelaskan, pihak persatuan telah menghantar surat bantahan kepada beberapa pihak termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nancy Shukri, Pejabat Menteri Besar Selangor, Prasarana Malaysia Berhad, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), MRCB George Kent Sdn Bhd, Datuk Bandar MBSA serta Pejabat Tanah dan Daerah Petaling agar pelan laluan berkenaan dapat dikaji semula.

Katanya, melalui surat berkenaan, persatuan turut menyertakan cadangan pelan laluan alternatif yang dilihat berpotensi memberikan situasi 'menang-menang' baik dari segi pembangunan dan kesejahteraan komuniti.

"Kami cadangkan jajaran baru LRT3 dari Stesen UiTM Shah Alam terus ke Persiaran Kayangan melalui hadapan Hospital Shah Alam dan Klinik Kesihatan Sekyen 7 seterusnya membelok ke Persiaran Bestari sebelum laluan lurus ke Stesen Bukit Raja.

"Pembinaan Stesen I-City Shah Alam pula diganti dengan satu stesen berhampiran hospital dan klinik tersebut yang sudah pasti dapat bantu memudahkan urusan rakyat dan orang awam.

"Kami yakin cadangan ini bukan sahaja dapat menjimatkan kos kerana jajaran laluan yang lebih lurus, pemilik dan kontraktor projek tak perlu nak bina lapan tiang dikawasan kami bagi laluan selekoh.

"Justeru, sekali lagi kami memohon dan menggesa agar suara kami ini mendapat perhatian dan perhatian sewajarnya," katanya.