KUALA LUMPUR - Puan Sri Faridah Mohamed, 74, isteri kepada Pengerusi Amanah Raya Berhad Tan Sri Sabbaruddin Chik, meninggal dunia pada 12.40 tengah malam tadi di sebuah hospital swasta di Damansara.

Perkara itu disahkan Sabbaruddin ketika ditemui pemberita di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Bukit Damansara hari ini.

Anak kedua arwah, Salina Sabbaruddin, 41, berkata ibunya menghidap penyakit aneurisma otak dan telah empat minggu dirawat di hospital berkenaan.

"Antara pesanan terakhir ibu saya sebelum menghembus nafas terakhir ialah sentiasa kekal bersama sebagai satu keluarga, sentiasa jaga hubungan antara satu sama lain.

"Ibu seorang yang penyayang dan amat mengambil berat terhadap kami semua dan sentiasa memberi sokongan kepada ayah dan keluarga," katanya ketika ditemui pemberita.

Jenazah akan disembahyangkan di masjid berkenaan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara petang ini.

Antara  yang hadir memberi penghormatan terakhir pagi tadi ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, anggota keluarga dan rakan-rakan terdekat Allahyarham.

Allahyarham meninggalkan empat anak iaitu Fazlee, 43, Shahriza, 40, dan Suraya, 38, selain Salina. – Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.