KUALA LUMPUR - Empat mak nyah didenda RM990 oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan semalam selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan memakai pakaian menyerupai wanita minggu lepas.

Hakim Syarie Umamuddin Yunus membuat keputusan itu terhadap Mohd Afshan Amrab, 24; Ace Mohamad Suriansah, 23; dan warga Indonesia Riko Adrian, 35; dan Bahtiar, 29, selain memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara selama tiga bulan jika gagal membayar denda.

Mahkamah turut menetapkan mereka menjalani bon berkelakuan baik selama enam bulan bagi mengikuti sesi tarbiah yang dikendalikan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk sesi kaunseling dan pemulihan dengan seorang penjamin.

Ketika menjatuhkan hukuman itu, Umamuddin sempat menasihati kesemua tertuduh agar insaf dan bertaubat tidak mengulangi kesalahan tersebut.

Pendakwaan yang dikendalikan Pegawai Pendakwa Jawi Rozlya Muin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap kesemua tertuduh sebagai pengajaran.

Hujahnya kesalahan yang dilakukan mereka melibatkan tatasusila kerana mengubah diri seperti perempuan dengan tujuan tidak bermoral.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi termasuk Jalan Haji Taib, Jalan Changkat Bukit Bintang dan Jalan Putra di ibu negara antara jam 12.10 pagi hingga 3.40 pagi 15 Oktober lalu.

Pendakwaan terhadap mereka dikemukakan mengikut Seksyen 28 Kanun Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, keempat-empat mereka ditahan sepasukan pegawai dan anggota penguat kuasa  Jawi dalam satu operasi khas di beberapa lokasi berasingan.

Mereka ditahan selepas diperhatikan masing-masing berpakaian seperti wanita sedang menunggu pelanggan untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.

Sementara itu, beberapa barangan yang dirampas Jawi ketika tangkapan ke atas kesemua tertuduh termasuk rambut palsu, coli, seluar dalam wanita, beg tangan, kasut tumit tinggi dan alat solek yang ditender sebagai barang kes akan dilupus dengan cara sewajarnya.

Mereka hadir ke mahkamah masing-masing memakai baju lokap Jawi warna kelabu dengan rambut yang sudah dipotong selepas ditahan sejak enam hari lalu.