SHAH ALAM - Rakan Penyampai Projek (PDP) bagi LRT3, MRCB George Kent (MRCBGK) menjelaskan pihaknya sedang mengkaji maklumbalas daripada penduduk di kawasan Jalan Plumbum 101 dan 103 dan akan membuat perubahan atau pengubahsuaian, sekiranya perlu, tanpa menjejaskan jajaran yang telah diluluskan oleh pihak berkuasa.

Pengarah Projek MRCBGK LRT3, Ong Gin Lip berkata, tanah taman permainan berkenaan adalah hak milik Kerajaan Negeri Selangor dan proses pengambilan tanah taman permainan telah dilaksanakan selaras dengan Akta Pengambilan Tanah 1960, melalui Pelan Pengambilan Tanah Seksyen 8 bagi daerah Petaling dan Warta Kerajaan No. 658 yang bertarikh 23 Februari 2017.

Menurutnya, kawasan taman permainan perlu ditutup semasa kerja-kerja pembinaan dijalankan untuk keselamatan penduduk dan taman permainan berkenaan akan dinaiktaraf dengan lanskap, taman dan fasiliti rekreasi dan akan dibuka semula untuk penduduk selepas projek LRT3 siap dibina.

"Pihak kami juga telah mengadakan tiga pertemuan rasmi dengan penduduk sejak Ogos 2017 hingga Februari 2018 bagi menjelaskan bahawa Prasarana telah mengadakan Paparan Awam  di tujuh lokasi terpilih iaitu MBSA, MBPJ, MPK, SPAD, Stesen LRT Kelana Jaya, Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Pasar Seni  dari 15 Mei 2015 hingga 14 Ogos 2015 bagi orang ramai untuk memberi maklumbalas mengenai jajaran yang dicadangkan.

"Paparan Awam ini juga telah mendapat liputan dari akhbar-akhbar tempatan. Walau bagaimanapun, tiada bantahan daripada penduduk sekitar Jalan Plumbum direkodkan Prasarana selepas tamat Paparan Awam.

"Sebagai PDP bagi projek LRT3, kami akan terus berkomunikasi dengan penduduk dari semasa ke semasa. Pandangan dan saranan dari penduduk akan dikaji semula mengikut kesesuaian, dan kami akan berkongsi maklumat terkini dengan mereka dari masa ke semasa," katanya kepada Sinar Harian.

Terdahulu, Persatuan Penduduk Jalan Plumbum 101 dan 103 sebelum ini membantah dan  menggesa agar pelan laluan projek pembinaan LRT3 bagi jajaran GS06 dikaji semula memandangkan laluan berkenaan akan merentasi padang permainan kawasan perumahan mereka.

Mereka juga telah menghantar surat bantahan rasmi kepada beberapa pihak terbabit termasuk MRCBGK selain memohon agar pelan laluan LRT3 GS06 dikaji semula.

Selain itu, Gin Lip mengesahkan ada menerima surat bantahan rasmi oleh penduduk Jalan Plumbum pada 23 Februari lalu dan akan meneliti serta memperhalusi permohonan daripada penduduk.

"Berkaitan soal jarak dari jajaran ke kawasan perumahan kira-kira 20 meter, perkara itu mematuhi syarat yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

"Kami juga difahamkan penduduk merujuk kepada kesan kerja-kerja pembinaan di kawasan sekitar yang bukan berkaitan dengan LRT3 kerana projek ini belum bermula.

"Kami ingin memberi jaminan kepada penduduk bahawa sebelum kerja-kerja pembinaan LRT3 aktif dijalankan, kami akan melaksanakan langkah keselamatan dan langkah-langkah mitigasi seperti pemantauan alam sekitar, pemantauan pemendapan tanah, pemeriksaan dilapidasi, kerja-kerja siasatan tanah dan akan terus berkongsi maklumat terkini dengan penduduk," katanya.