SHAH ALAM - Kira-kira 100 pekerja sebuah syarikat automotif menggesa majikan mereka bersikap adil berhubung penyelarasan gaji dalam perhimpunan di sini, semalam.

Bantahan yang berlangsung kira-kira 30 minit dan berakhir sekitar jam 5.30 petang itu mempertikaikan tindakan syarikat pengeluaran kereta terbabit yang hanya menaikkan gaji pekerja yang berpendapatan bawah RM900 iaitu kurang daripada gaji minimum ditetapkan kerajaan.

Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja Peralatan Pengangkutan, N Gopal berkata, majikan seolah-olah tidak bersikap adil dan tidak menghargai pekerja.

"Hanya gaji pekerja yang berpendapatan bawah gaji minimum ditetapkan kerajaan dinaikkan sedangkan sebahagian lagi yang berkhidmat sekian lama dan berpendapatan RM900 dibiarkan begitu sahaja.

"Pekerja yang banyak berjasa ini bagai dipinggirkan apabila tidak menerima sedikit pun kenaikan dan sepatutnya majikan tidak terlepas pandang perkara ini," katanya.

Menurutnya, sebagai  syarikat pengeluaran kereta yang besar, isu ini tidak sepatutnya timbul memandangkan syarikat automotif lain mampu memberi kenaikan gaji kepada semua pekerja secara adil.

"Protes ini bukan yang pertama malah pekerja terbabit pernah memprotes tidak bekerja lebih masa selama seminggu.

"Disebabkan tindakan itu juga, majikan melakukan perubahan jadual kerja secara syif tanpa perbincangan degan pekerja," katanya.

Beliau berkata, perhimpunan aman itu turut menuntut majikan menghantar wakil bagi mengadakan perbincangan mencari penyelesaian berhubung isu kenaikan gaji.

"Kami tidak teragak-agak mengadakan piket lebih besar esok (hari ini) jika syarikat tetap dengan pendirian mereka dan tidak mahu menghantar wakil untuk mengadakan perbincangan," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SEREMBAN - Kira-kira 90 penduduk Kampung Serampang Indah (Gatco), Jempol berhimpun di luar Wisma Negeri di sini, hari ini bagi menyerahkan memorandum sebagai tanda sokongan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan kerajaan negeri yang telah berusaha mengatasi kemelut tanah ladang Gatco.
  • KOTA BHARU - Lebih 2,000 hadir memberi sokongan sempena himpunan solidariti mengutuk kekejaman rejim Zionis yang secara terang-terangan menindas umat Islam di Palestin.
  • KUALA KUBU BHARU - Kementerian Pendidikan menempelak tindakan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Kalumpang apabila turut mengheret murid sekolah berkenaan melakukan demonstrasi aman.
  • LANGKAWI - Kira-kira 400 pengusaha teksi hari ini mengadakan demonstrasi membantah keras kemasukkan perkhidmatan 'e-hailing', Uber dan Grabcar ke pulau peranginan ini.
  • PASIR MAS - Ibu bapa yang tidak berpuas hati dengan pengetua dan menyertai demonstrasi di hadapan sekolah diharap dapat menyelesaikan isu tersebut dengan baik.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.