KOTA KINABALU - Singapura mahu terus memperkukuh hubungan ekonomi, perdagangan dan pelaburan dengan Sabah, khususnya dalam bidang pelancongan, pendidikan teknikal dan vokasional serta pembangunan hartanah.

Timbalan Perdana Menterinya, Teo Chee Hean yang kini dalam rangka lawatan tiga hari ke Sabah berkata, bidang tersebut merupakan antara perkara dibincangkan bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

"Saya gembira datang ke Kota Kinabalu, membincangkan kerjasama antara Singapura dan Sabah. Kami membincangkan pelbagai perkara mengenai kaedah untuk bekerja lebih rapat. Kedua-duanya (Singapura dan Sabah) berminat memajukan bersama perdagangan, pelaburan, khususnya pelancongan.

Cheen Hean berkata, Sabah mempunyai produk pelancongan terbaik dengan terdapat pelbagai lokasi menarik ditawarkan kepada para pelancong termasuk di kawasan pantai timur Sabah iaitu Sandakan, Tawau dan Semporna.

“Saya melihat Sabah mempunyai produk (pelancongan) yang menarik. Ramai rakyat Singapura datang ke sini. Kami berharap dapat menambah bilangannya dan mungkin melabur dalam sektor pelancongan di sini,” katanya pada sidang akhbar pada hari kedua lawatannya.

Mengenai pendidikan teknikal dan vokasional, Cheen Hean berkata, bidang itu turut dibincangkan kerana Mohd Shafie menyatakan minat untuk menyediakan kemahiran kepada golongan muda untuk masa depan mereka.

Beliau turut menjemput Mohd Shafie mengadakan lawatan rasmi ke Singapura untuk terus memperkukuh hubungan dua hala, sekali gus membincangkan kerjasama secara mendalam.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, perbincangan dua hala itu tidak hanya memberi tumpuan kepada bidang pelancongan serta pendidikan teknikal dan vokasional, malah pembangunan hartanah bagi menarik pelabur asing.

Beliau berkata, penerbangan terus dari Singapura ke pantai timur Sabah juga antara perkara dibincangkan ke arah meningkatkan kehadiran pelancongan ke Sandakan, Tawau dan Semporna untuk menikmati keindahan pantai, pulau serta makanan laut di kawasan berkenaan.

Selain itu, Mohd Shafie berkata, pihaknya menghantar satu pasukan ke Singapura untuk meneroka bidang pendidikan teknikal dan vokasional di negara itu untuk dikembangkan di negeri ini.

"Banyak yang kita boleh belajar dari Singapura dan memanfaatkannya," katanya. - Bernama