KOTA KINABALU - Nic Sabah dalam bioekonomi adalah dalam bidang biokimia, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Wilfred Madius Tangau hari ini.

Menurutnya, terdapat potensi besar untuk membangunkan bidang itu berikutan ladang kelapa sawit yang luas di negeri ini.

"Ini adalah besar. Jika anda lihat pada biomass Sabah (berasaskan kelapa sawit), banyak benda yang boleh dimanfaat, daripada sisa yang boleh ditukar kepada metana dan lain-lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bioekonomi di sini.

Madius berkata, selain 2.4 juta hektar ladang kelapa sawit, Sabah mempunyai banyak bahan mentah lain untuk menghasilkan biokimia.

Sebelum itu dalam ucapannya, Madius berkata, walaupun pertumbuhan ekonomi Malaysia lembab sejak beberapa tahun lepas, Program Transformasi Bioekonomi (PTB) telah mencatat pencapaian besar sejak diperkenal pada 2012.

"Sehingga bulan lalu, PTB mempunyai 48 projek pencetus yang dijangka menjana pendapatan negara kasar RM5.97 bilion pada 2020," tambahnya.

Menurut Madius, projek itu menawarkan 25,355 peluang pekerjaan dan mendapat pelaburan terkumpul RM18.21 bilion.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), Datuk Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, Sabah mempunyai banyak peluang yang belum diterokai, terutama dalam kekuatan semula jadi negeri yang boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi berpotensi tinggi dalam sektor berasaskan bio.

"Selain itu, Sabah boleh memanfaatkan lokasi strategiknya di antara pasaran mewah Asia Utara dan rantau yang berkembang pesat di selatan Filipina, Kalimantan dan Brunei untuk mendapat keuntungan daripada laluan kapal utama di rantau Asean," tambahnya.

Mohd Nazlee berkata, BiotechCorp terus memacu agenda bioekonomi bagi meningkat dan mencapai matlamat Dasar Bioteknologi Negara (DBN) dengan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Menurutnya, pada fasa kedua DBN daripada 2011 hingga 2015, BiotechCorp telah memperoleh pelaburan bernilai RM24.9 bilion sehingga September, melepasi sasaran RM9 bilion. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.