KUCHING - Projek Lebuhraya Pan Borneo di Sarawak berjalan dengan lancar mengikut jadual sebagaimana diumumkan Menteri Kerja Raya Baru Bian baru-baru ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jenmenafikan laporan sebuah akhbar bahasa Cina bahawa berlaku kelewatan pada kerja-kerja projek lebuh raya tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini hari ini.

Lebuh raya Pan Borneo sepanjang 2,325 kilometer yang bermula dari Telok Melano, Kuching hingga Lawas di utara Sarawak dibina dengan anggaran kos RM29 bilion.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika lawatan kerja ke Brunei Darussalam awal minggu ini mengesahkan jajaran lebuh raya itu tidak akan melalui negara itu selepas mengambil kira kekangan kewangan dan isu imigresen.

Dalam perkembangan lain,  Chien Jen berkata setakat ini kementeriannya tidak menerima sebarang aduan mengenai perniaga yang menaikkan harga barangan yang tidak harus dikenakan cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semenjak pelaksanaannya pada 1 Sept lepas.

Orang ramai atau pengguna yang ingin membuat sebarang aduan berkaitan, boleh terus ke portal rasmi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna atau terus  Whatsapp ke nombor rasmi aduan 019-2279 4317.-Bernama