LABUAN - Teruja, dan terharu. Itu situasi berlaku apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, menjejak kaki menyantuni keluarga kurang mampu di wilayah ini bagi menyampaikan khabar gembira tajaan baikpulih kediaman menerusi Tabung Program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan.

Sebanyak 10 keluarga menerima manfaat hasil peruntukan berjumlah RM150,000 oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) menerusi Badan Amal Kasih Ibu Wilayah Persekutuan, bersempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2018 peringkat wilayah tersebut.

Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, setiap keluarga diperuntukkan sebanyak RM15,000 sebagai satu bentuk sumbangan dan keprihatinan kementerian memastikan keselesaan rakyat.

“Program ini merupakan bantuan yang disediakan kerajaan bagi membantu golongan kurang bernasib baik dengan mendiami rumah yang lebih selesa dan lengkap sebagai asas keharmonian sesebuah keluarga.

Salah sebuah kediaman yang menerima manfaat bantuan baikpulih rumah menerusi Tabung Program Baiti Jannati @ Wilayah Persekutuan.

“Matlamat utama program ini untuk meningkatkan kualiti hidup dengan menyediakan tempat tinggal yang selesa kepada golongan berpendapatan rendah, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU), golongan asnaf, fakir dan miskin di Wilayah Persekutuan,” katanya ketika merasmikan program itu di sini hari ini.

Tengku Adnan berkata, perlaksanaan program itu di sini membuktikan kesungguhan kementeriannya dalam memperluaskan manfaat tersebut kepada warga wilayah yang memerlukan.

Ujarnya, sehingga kini, seramai 56 keluarga yang tidak berkemampuan di bawah kategori miskin tegar untuk memiliki rumah di ibu kota telah dibantu menerusi program ini.

“Program ini juga merupakan salah satu penyelesaian dalam membantu dan menangani kemiskinan bandar.

“Kita tidak mahu golongan ini terpinggir dalam arus deras pembangunan dan pemodenan bandar,” katanya.